Ahad, 22 Januari 2012

English Theme Park

SEBERANG TAKIR - Syarikat ExxonMobil berhasrat menaja penubuhan Taman Tema Bahasa Inggeris (ETP) di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Penajaan itu bagi memenuhi tanggungjawab sosial dan ingin melihat penguasaan bahasa Inggeris khususnya dalam kalangan pelajar di negeri ini terus meningkat.

Pengurus Hal Ehwal Awam dan Perhubungan Kerajaan, Subsidiari ExxonMobil, Farid Jaafar berkata, kemudahan ETP yang dijadualkan dilaksanakan sekitar tahun ini itu adalah ETP ketiga di negeri ini selepas ETP Kemasik dan ETP Tok Jiring.

“Kemudahan taman ini bertujuan menggalakkan pengunaan dan penguasaan bahasa Inggeris pelajar di sini.

“Tambahan pula, dengan pelbagai bahan rujukan dan alat bantu pembelajaran di sini, diharap ia dapat mewujudkan suasana belajar yang menyeronokkan sekali gus mampu menarik perhatian mereka,” katanya.

Menurut Farid, sambutan yang diterima daripada pelajar di kedua-dua ETP sangat baik.

“Malah, ETP Tok Jiring yang mula beroperasi sejak 2009 lalu berjaya memberi kemudahan kepada pelajar dari lebih 50 sekolah rendah sekitar Kuala Terengganu,” katanya.

Kata Farid, penubuhan ETP ketiga yang akan diwujudkan di Kuala Berang diharapkan dapat memberi peluang kepada pelajar Hulu Terengganu pula untuk menikmati kemudahan pembelajaran bahasa Inggeris.

“Saya pasti usaha ini dapat membantu mereka meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang juga bahasa antarabangsa,” katanya.

Sumber : Sinar Harian