Isnin, 20 Februari 2012

35,000 guru, pelajar jadi ejen antidad


Seramai 35,000 guru dan pelajar telah dilatih sebagai ejen perubahan pencegahan dadah di sekolah di seluruh negara sejajar dengan matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia Sekolah Bebas Dadah 2012.
Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan Petronas, Haniff Hassan berkata, bagi memastikan matlamat murni itu tercapai, Pemuafakatan Program Pencegahan Dadah (PPDa) antara Kementerian Pelajaran Malaysia dan Petronas telah dilaksanakan.
Menurutnya, fokus pelaksanaan program adalah kepada aktiviti-aktiviti luar bilik darjah yang memberi peluang kepada pelajar mengetahui dengan lebih mendalam tentang akibat penyalahgunaan dadah dan langkah pencegahan untuk menghindari diri daripada aktiviti penyalahgunaan dadah.
"Ia juga selari dengan usaha membangunkan modal insan yang memiliki ketahanan dan jati diri yang tinggi dalam kalangan pelajar dari segi fizikal, emosi, mental dan rohani.
"Selain itu, ia membentuk nilai PPDa iaitu budaya sihat, tingkah laku positif, amalan nilai murni dan sikap benci dadah di kalangan warga sekolah sejak dari kecil lagi," katanya ketika berucap pada majlis Malam Anugerah Program Sahabat PPDa-Petronas 2011 di Bukit Gambang Resort Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Perasmian program telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Mazlan Mohamad yang turut dihadiri Pengarah Pelajaran Pahang, Yahya Zainal Abidin.
Haniff memberitahu, tujuan program ini juga adalah untuk mewujudkan permuafakatan warga sekolah dengan masyarakat luar sekolah dalam usaha mencegah dadah selain menyediakan alternatif yang berfaedah supaya dapat menyekat pelajar daripada terlibat dengan dadah.
Tambah beliau, melalui permuafakatan tersebut ia memberi peluang penglibatan ramai pelajar dan memberi pengalaman kepada pelajar untuk meningkatkan motivasi ke arah kecemerlangan hidup.
Katanya, usaha pihak sekolah menyediakan sama ada bilik sumber dan sudut/lorong PPDa dengan pelbagai informasi berkaitan pendidikan dadah, rokok, inhalan, arak dan HIV/Aids adalah usaha yang sangat baik.
"Majlis Anugerah Alumni Sahabat PPDa-Petronas kemuncak kepada program Sahabat PPPDa-Petronas yang mula diwujudkan sejak tahun 2009 dalam membantu Kementerian Pelajaran menghapuskan penyalahgunaan dadah pada tahun 2012," jelasnya.
Hal ini ujarnya, adalah tanggungjawab sosial Petronas seperti mewujudkan Universiti Petronas atau Petrosains kepada pelajar supaya rakyat Malaysia lebih berpendidikan serta celik sains, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Sumber - Utusan Online

SBPA: Khabar gembira atau sebaliknya dijangka diketahui Rabu ini


KUALA TERENGGANU 19 Feb. - Keputusan sama ada tuntutan penambahbaikan sistem Saraan Baharu Perkhidmatan Awam (SBPA) akan memberi khabar gembira kepada seluruh penjawat awam atau sebaliknya dijangka diketahui Rabu ini.
Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Azih Muda berkata, pada hari tersebut, pihaknya akan membentangkan hasil bengkel Jawatankuasa Bertindak SBPA kongres itu kepada Jawatankuasa Penambahbaikan SBPA yang ditubuhkan kerajaan.
"Kelmarin dan semalam kita ada bengkel Jawatankuasa Bertindak SBPA CUEPACS di Kuala Lumpur di mana kita masih lagi mengekalkan cadangan lima perkara yang diutarakan kongres supaya diteliti kerajaan," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama CUEPACS di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng.
Azih berkata, pihaknya juga menjangkakan isu tuntutan CUEPACS mengenai SBPA dapat diselesaikan sepenuhnya pertengahan April ini.
Dalam perkembangan sama, katanya, CUEPACS amat menghargai kesediaan dan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersungguh-sungguh untuk membantu menyelesaikan isu itu demi kepentingan penjawat awam khususnya peringkat bawahan.
"Kita sangat hargai komitmen Perdana Menteri untuk dengar pandangan CUEPACS dan kesungguhan beliau untuk membantu menyelesaikan perkara yang dibangkitkan CUEPACS ini," katanya.
"Ini satu penghargaan tinggi daripada kerajaan kepada CUEPACS," katanya.

Sumber -Utusan Malaysia Online

Mesyuarat Isu Pengurusan Pertukaran dan Penempatan Murid Menengah Bil.1/2012




19 Februari 2012, Rumah Tamu - Mesyuarat Bil.1 ini dipengerusikan oleh Tuan Ketua Penolong Pengarah, Sektor PEngurusan Sekolah dan dihadiri oleh PP Pengurusan Murid Menengah, Penyelia Kanan Pengurusan Murid Menengah, Penyelia Kanan Unit Perhubungan dan Pendaftaran dan semua Pegawai Khas Pengurusan Murid Pejabat Pelajaran Daerah.
Mesyuarat ini dilaksanakan adalah bertujuan unuk membicangkan isu-isu dalam proses pertukaran dan penempatan murid sama ada pertukaran dalam daerah, pertukaran antara daerah, pertukaran antara negeri/bahagian dan permohonan belajar semula. Satu persetujuan atau 'Standard Operating Procedure'(SOP) akan dilaksanakan di peringkat sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri. Pelaksanaan SOP ini bertujuan untuk memudahkan urusan semua pihak terutama ibubapa atau penjada dalam urusan pertukaran anak jagaan mereka dan kemudiannya dalam mengurangkan dari segi kos masa, wang dan sebagainya. Untuk itu, pegawai dari unit pengurusan murid menengah, Jabatan Pelajaran Negeri  akan turun padang ke semua daerah untuk memberi taklimat kepada semua Penolong Kanan Hal Ehwal Murid bagi semua kategori sekolah.
Mesyuarat ini juga menyasarkan pada pelaksanaan program menangani murid cicir di sekolah menengah negeri Terengganu. Mengikut statistik, kadar penurunan yang agak ketara dengan mengambilkira tahun 2010 dan 2011. Perkara ini berlaku, berkemungkinan besar tindakan proaktif yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan sekolah dan Jabatan Pelajaran Negeri dalam menangani masalah keciciran murid tersebut. Usaha murni akan diteruskan pada sesi persekolahan 2012 dengan pelaksanaan di semua jenis sekolah menengah di negeri Terengganu.
Ahli mesyuarat juga telah diberi taklimat berkaitan proses pertukaran dan penempatan murid bukan warganegara. Pelabagai situasi telah didedahkan oleh Penyelia Kanan Unit Perhubungan dan Pendaftaran, Encik Zakaria Omar, dari segi aspek mengenalpasti status seseorang murid tersebut sama ada warganegara, pemastatutin tetap ataupun bukan warganegara. Perkara ini tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak terutamanya pihak pengurusan sekolah dengan memberi 'kebenaran' kepada murid tersebut untuk bersekolah. Prosedur perlu dipatuhi oleh semua penjaga bagi kategori murid bukan warganegara.  

Gotong royong

16 Februari, Unit Menengah - Satu gotong royong telah dilaksanakan di unit pengurusan guru menengah dan unit pengurusan murid menengah dengan penglibatan semua pegawai dan staf. Gotong royong ini bertujuan untuk menjadikan amalan 5's dikalangan pegawai dan staf dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ia dimulakan pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 5.00 petang.

Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu dan Shitsuke adalah perkataan Jepun yang membawa maksud Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Praktik ini diringkaskan menjadi 5S agar ia lebih mudah disebut dan seringkas penggunaannya. Walaupun ringkas, manfaat dari hasil penggunaannya terserlah dengan gaya kerja yang sistematik. Bermula dengan aktiviti 5S dan seterusnya mengamalkannya dengan penggunaan kaedah dan teknik kawalan kualiti, sesebuah organisasi akan mampu mengekal, menambahbaik dan meningkatkan kualiti kerja.

Sisih (Seiri)
Sisih atau mengasing adalah satu proses kerja mengasing barangan yang perlu daripada sekumpulan barangan yang tidak diperlukan di tempat kerja. Ia adalah proses menentukan barang-barang atau peralatan yang diperlukan atau tidak diperlukan. Proses pengasingan ini membantu dalam menentukan barangan yang mungkin tidak diperlukan sekarang tapi boleh digunakan pada masa hadapan dan peralatan haruslah disimpan di tempat simpanan yang sesuai.

Susun (Seiton)
Menyusun dan melabel dilakukan setelah kesemua barangan yang tidak diperlukan diasingkan. Ini dilakukan bertujuan memudahkan penggunaan dan penyimpanan. Susunan barangan dilakukan mengikut kumpulan yang sama. Dengan berbuat demikian, ia akan membantu mempercepatkan proses kerja bagi mendapatkan barang tersebut apabila diperlukan kelak. Tujuan utama menyusun untuk menjimatkan ruang nampak lebih kemas dan teratur dan memudahkan proses mencari pada masa akan datang.

Sapu (Seiso)
Kebanyakan pekerja akan merasa lebih selesa apabila bekerja dalam persekitaran yang bersih dan segar. Selain dari meningkatkan efisien kerja, menyapu juga boleh mempertingkatkan tahap keselamatan di tempat kerja dan peralatan yang digunakan. Ia bertujuan untuk menghilangkan habuk atau kekotoran yang melekat di lantai, mesin di tempat kerja atau barang-barang yang telah disisih dan disusun. Satu senarai semak hendaklah diletakkan untuk menjadi panduan kepada pekerja tentang apa yang harus dilakukan pada masa akan datang dalam aktiviti ini.

Seragam (Seiketsu)
Seragam hanya dapat dilakukan setelah aktiviti sisih, susun, dan sapu telah disempurnakan. Seragam atau mengekalkan kebersihan tempat kerja pada tahap asal adalah penting agar segala usaha yang dilakukan dalam tiga aktiviti terdahulu tidak menjadi sia-sia. Aktiviti yang dilakukan sendiri oleh kakitangan akan menyemai sifat kekitaan dan cintakan kebersihan di tempat kerja. Justeru, kakitangan akan sentiasa memastikan dan mengekalkan kebersihan tempat kerja mereka.
Sentiasa Amalkan (Shitsuke)

Setiap pekerja perlu faham, patuh, berusaha dan mengamalkan penjagaan kebersihan organisasi serta tempat kerja. Amalan kebersihan memang dituntut oleh semua masyarakat dan juga agama. Walau apa pun situasi kita, memang tidak dapat dinafikan amalan kebersihan merupakan titik tolak untuk menjelmakan peribadi yang mulia. Amalan ini dapat disemai dalam diri individu dengan memberi tunjuk ajar menerusi program latihan secara berkala dan mengamalkan budaya nasihat-menasihati.

Semoga usaha murni ini dapat mempertingkatkan lagi kecakapan dan mutu kerja pegawai dan staf di Unit Penyeliaan Menengah dalam melaksanakan kerja seharian.


Khamis, 16 Februari 2012

Gadis 'istimewa' sambung persekolahan


BESUT 15 Feb. - Noraini Ismail, gadis berusia 17 tahun yang didakwa mampu bertutur dalam bahasa Korea, Mandarin, Hokkien dan beberapa bahasa lain setelah terlibat dalam kemalangan lebih sebulan lalu menyambung semula persekolahannya semalam.
Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah itu bagaimanapun kelihatan ceria ketika dikelilingi rakan-rakan sekelas dan gurunya meskipun lebih sebulan tidak bersekolah.
Dalam kejadian 10 Januari lalu, Noraini yang terlibat dalam kemalangan ketika pulang dari sekolah ketika membonceng motosikal abangnya, Jefri Ismail, 18 telah pengsan selama 11 jam walaupun hanya mengalami luka-luka kecil di bahagian kaki.
Selepas menjalani imbasan sinar-X, keluarga Noraini dimaklumkan bahawa terdapat segumpal darah beku di kepala gadis itu dan selang tiga hari selepas itu, doktor pula mengesahkan darah beku itu sudah hilang dan dia dibenarkan pulang.
Setelah menerima rawatan dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan berlaku keganjilan apabila dia tiba-tiba tidak boleh bercakap.
Setelah dirujuk semula dan menjalani terapi, Noraini akhirnya dapat bercakap semula tetapi apa yang memeranjatkan keluarganya ialah apabila gadis itu tiba-tiba mampu bertutur dalam bahasa Korea, Mandarin dan beberapa bahasa lain.
Ketika sekumpulan media hadir bersama pemangku Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Besut, Ab. Halim Hasan ke sekolah itu hari ini, Noraini bersama 20 rakannya sedang mengikuti mata pelajaran Sejarah yang diajar oleh Norhazimah Hamzah.
Ab. Halim ketika ditemui berkata, pihaknya berharap pelajar itu dapat meneruskan pelajaran sehingga selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya, pihak sekolah juga diharap dapat mengawasi perkembangan pelajar itu menerusi Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM).
"Di pihak PPD, kita juga telah menyediakan seorang pegawai bagi memantau perkembangan Noraini ini yang dianggap istimewa," jelasnya.
Sementara itu, Noraini ketika ditemui berkata, dia gembira dapat belajar semula dan bertemu rakan-rakan dan guru yang banyak membantunya untuk menghadapi keadaan itu.

Sumber - Berita Harian online

Semakan Penempatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) - Opsyen TESL

Sukacita dimaklumkan bahawa maklumat PENEMPATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) BAGI OPSYEN TESL  yang telah lulus temu duga boleh disemak di laman ini  bermula 15 Februari 2012. Tuan/puan yang membuat semakan diminta untuk menghubungi Jabatan/Bahagian sebagaimana yang tertera di ruang MAKLUMAN untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan penempatan tuan/puan.
Harap Maklum.
 
Diterbitkan Oleh: Bahagian Pengurusan Maklumat

Sumber : Portal Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia

Pemantauan Berfokus Sekolah Band 5

15 Februari - Pemantauan berfokus tersebut telah dilaksanakan di empat  buah sekolah iaitu SMA Setiu dan SMK Bukit Guntong oleh PP Projek Khas/SBP/SKK dan PP Pengurusan Murid, Unit Penyeliaan Menengah manakala SMK Kampung Nyior, SMK Seri Paka dan SMK Kompleks Rantau Abang oleh PP Pengurusan Teknik dan Vokasional, PP Data & ABM dan Penyelia Kanan Pengurusan Murid Menengah.. Fokus pemantauan adalah berdasarkan instrumen pemantauan Piawai Sekolah Terengganu (PST). Untuk SMA Setiu, item yang dipantau adalah Pengurusan Sekolah, Pengurusan Kurikulum, Pengurusan HEM dan Fizikal Sekolah. Secara keseluruhannya, pemantauan mendapat kerjasama daripada pengurusan pihak sekolah. Beberapa penambahbaikan telah dicadangkan kepada pihak sekolah dari segi pengurusan fail dan 3K.

Fokus pemantauan di SMK Bukit Guntong dinilai dari item Instruksional Pengetua, Pengurusan Sekolah, Pengurusan Kurikulum, Pengurusan HEM dan Pengurusan Kokurikulum. Ini merupakan pemantauan kedua oleh pegawai pemantau di sekolah tersebut. Penambahbaikan sepertimana yang dicadangkan oleh pegawai pemantau telah berjaya dilaksanakan dengan sempurna dan jayanya oleh pihak pengurusan sekolah. Pengurusan fail dan dokumentasi berada dalam keadaan yang baik dan boleh dinilai dengan sempurna oleh pegawai pemantau.



Selasa, 14 Februari 2012

Semua Pengetua,
Sekolah Tingkatan Enam,
Negeri Terengganu

Perubahan kepada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012







Isnin, 13 Februari 2012

Mesyuarat Unit Menengah Bil.2/2012

12 Februari 2012, Rumah Tamu - Mesyuarat Unit Menengah Bil.2/2012 telah dipengerusikan oleh Ketua Unit Menengah, En. Ibrahim bin Ismail dengan  dihadiri oleh semua pegawai dan staf unit menengah. Dalam ucapan aluannya, pengerusi mengingat semua ahli mesyuarat supaya akur dengan masa yang telah ditetapkan untuk mesyuarat. Beliau juga mengingatkan agar semua makluman atau isu-isu yang disampaikan kepada Ketua Sektor atau Ketua Penolong Pengarah, mohon dimaklumkan juga kepada beliau agar tidak berlaku 'ketirisan maklumat'. Semua pegawai atau staf yang ingin melaksanakan tugasan di luar premis kerja, dipohon untuk memaklumkan kepada rakan sekerja atau mencatat di papan kenyataan. Untuk melaksanakan prinsip 5's di unit menengah, satu gotong royong akan dilaksanakan pada hari Khamis (16 Februari) bermula jam 2.00 petang. Tujuan gotong royong ini adalah bertepatan dengan penyemakan pemantauan SSR yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Untuk pemantauan berfokus, semua pegawai diminta mematuhi ISO yang telah ditetapkan. Pelaksanaan tersebut akan dimulakan bermula bulan Februari ini dan semua pegawai akan memantau sepuluh (10) buah sekolah yang berada pada Band 5 dan 6. Instrumen yang digunapakai adalah instrumen Piawai Standard Terengganu (PST) sepertimana yang telah dimaklumkan kepada semua Pengetua dan Guru Besar.
Agihan pegawai dan staf telah ditetapkan agar kelancaran setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Untuk urusan maklumbalas mninit mesyuarat, ahli mesyuarat telah memutuskan untuk menggunakan email rasmi kerajaan agar sebarang maklumat sulit dapat dipelihara.
Satu aktiviti yang melibatkan ahli keluarga unit menengah akan dilaksanakan pada satu masa yang akan dibincangkan kemudian. Mesyuarat berjalan dengan lancar dan tamat pada jam 5.15 petang.

Pelajar sains di persimpangan?

SAYA terpanggil untuk memberikan komen berhubung isu mengenai peratusan kekurangan pelajar sains yang semakin amat kritikal ini. Sebenarnya isu ini telah lama berlaku cuma sekarang menjadi semakin teruk dan perlu ditangani segera oleh kerajaan.
Perlu ditegaskan jika kita ingin menuju negara yang maju dan dihormati ia mestilah mempunyai tenaga manusia atau rakyatnya yang berpendidikan sains dan teknologi secara menyeluruh. Sebenarnya kita kena lihat dari pelbagai aspek untuk mencari sebab dan puncanya.
Punca yang sering kita berikan ialah kerana bidang atau jurusan sains ini cukup susah dan mencabar kepada pelajar, baik semasa di peringkat sekolah mahupun di peringkat universiti.
Namun statistik tersebut perlu tepat, sama ada bidang yang dimaksudkan untuk sains tulen atau sains gunaan. Pelajar kurang berminat adalah bidang sains tulen berbanding sains gunaan.
Bidang sains gunaan seperti sains kesihatan dan kejuruteraan memang tiada masalah kerana bidang ini cukup diminati dan mendapat permintaan tinggi daripada pelajar aliran sains atau teknik.
Bidang-bidang sains tulen seperti matematik, fizik, kimia dan biologi memang semakin kurang diminati disebabkan peluang tawaran di pasaran kerja begitu kurang sedangkan pelajarannya sukar.
Kerana itu ada pelajar lulusan sains tulen ini akan mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Institut Perguruan Guru (IPG) selama setahun untuk bertukar menjadi seorang guru, bukan mempraktikkan dirinya sebagai seorang pegawai sains, penyelidik atau saintis. Ini pun satu masalah dan memberi kesan kepada kekurangan pegawai sains tulen dalam industri sains negara.
Kita lihat seolah-olah pelajar jurusan sains berada dalam persimpangan dan dilema. Kerana itu hanya mereka yang cukup minat dan cintakan jurusan ini akan pasti memilih kursus perubatan, farmasi dan kejuruteraan sebagai kursus yang paling popular.
Mereka inilah pelajar yang biasanya cukup cemerlang dan dianggap berani untuk memilih kursus yang lebih mencabar, sukar dan lebih mahal kosnya.
Jika lulus, mereka akan menjadi seorang doktor atau jurutera yang dianggap lebih berprestij dan hebat di mata masyarakat. Ramai juga yang gagal dan bertukar kursus.
Terbukti mereka memang pintar kerana mampu lulus cemerlang dalam kursus lain sekalipun pelajar itu gagal dalam sains sebelumnya. Lagi pun kedua-dua bidang ini bertaraf lebih profesional daripada jurusan sains tulen tadi.
Kerana itu saya ingin bertanya bidang sains mana yang dimaksudkan menjadi kritikal kepada negara? Hakikatnya pelajar ini masih ramai belajar bidang sains ketika di peringkat sekolah tetapi mula mengurang atau bertukar haluan bila belajar di universiti.
Ini masalah yang berbangkit dan perlu ditangani oleh kerajaan. Lihat sahaja iklan akhbar dan beberapa pameran kerjaya. Kebanyakan jawatan kosong lebih kepada bidang kejuruteraan, perakaunan, perniagaan, pemasaran dan perubatan. Jarang yang hendakkan mereka daripada aliran sains tulen.
Bagi saya selaku bekas pelajar aliran sains tulen dan kejuruteraan, saya rasa kerajaan perlu memberikan sesuatu yang lebih besar dan bermakna kepada pelajar sains ini. Sebagai contoh pelajar sains (tulen atau gunaan) patut diberikan kemudahan biasiswa yang lebih besar dan banyak dari pelajar jurusan lain.
Bagi yang ingin memohon pinjaman PTPTN pula kita harapkan agar mereka daripada jurusan sains diberikan lebih merit dan terutamanya tanpa mengira latar belakang keluarga mereka. Dengan ini pelajar akan lebih bersemangat dan suka untuk memilih bidang sains kerana adanya keistimewaan dan penghargaan seperti ini.

Sumber - Utusan Malaysia Online (Forum)

15,000 guru berijazah belum naik gred G41

Terpaksa tanggung beban bayaran pinjaman pendidikan
SEREMBAN: Kira-kira 15,000 guru lepasan ijazah di seluruh negara belum menerima kenaikan gred G41 walaupun sebahagian mereka sudah melepasi proses temu duga sejak dua tahun lalu, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng.
Beliau berkata, perkara itu menimbulkan ketidakpuasan hati kumpulan guru terbabit yang sanggup membuat pinjaman pendidikan atau mengeluarkan simpanan sendiri bagi menampung kos menyambung pelajaran sebelum ini.
Dengan jaminan kenaikan gred itu, mereka membuat keputusan berkenaan (menyambung pelajaran) dengan harapan dapat meningkatkan pendapatan. - Lok Yim Pheng, Setiausaha Agung NUTP
Katanya, berikutan penangguhan itu, sebahagian guru terbabit kini menanggung masalah kewangan termasuk untuk membayar semula pinjaman pendidikan kerana gaji diterima masih di takuk lama.
“Mereka membuat perancangan rapi terutama membabitkan soal kewangan sebelum mengambil keputusan menyambung pelajaran kerana kebanyakannya sudah berkeluarga dan mempunyai banyak komitmen.
“Dengan jaminan kenaikan gred itu, mereka membuat keputusan berkenaan (menyambung pelajaran) dengan harapan dapat meningkatkan pendapatan.
“Namun, proses kenaikan gred itu kini digantung dan kami tidak tahu sampai bila,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Yim Pheng berkata, sebelum ini, proses kenaikan gred selepas seseorang calon melepasi temu duga biasanya mengambil masa kurang setahun untuk berkuat kuasa tetapi penangguhan itu turut menjejaskan tempoh perkhidmatan bagi kenaikan pangkat.
Justeru, beliau berkata, pihaknya meminta Kementerian Pelajaran menyegerakan proses berkenaan kerana jumlah guru yang tamat pengajian ijazah semakin bertambah dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Yim Pheng meminta Kementerian Pelajaran memberi peluang kepada guru yang lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) aras tiga dan empat yang layak menikmati anjakan gaji menikmatinya, walaupun tempoh sah penilaian itu tamat tahun ini berikutan pemansuhannya.
Beliau berkata, kebanyakan guru terbabit belum cukup syarat tempoh perkhidmatan dan hak mereka dinafikan kerana tempoh sah penilaian itu tamat sebelum mereka mencukupkan syarat berkenaan.
“Tidak adil bagi guru terbabit yang berusaha lulus PTK dan ketika menunggu masa untuk menikmati anjakan gaji, tiba-tiba kelulusan PTK mereka tidak boleh digunakan dan terpaksa menduduki penilaian baru,” katanya.

Sumber  - Berita Harian Online

Sekolah cemerlang Terengganu dirai

KUALA TERENGGANU 9 Feb.– Sekolah-sekolah di negeri ini yang mencatatkan kejayaan membanggakan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 diraikan oleh kerajaan negeri semalam.
Majlis Anugerah Apresiasi Kecemerlangan itu merupakan sebahagian daripada tradisi penghargaan kepada warga sekolah untuk terus mempertahan dan meningkatkan pencapaian dalam pelbagai peringkat peperiksaan awam.
Ia juga merupakan sebahagian daripada komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri dengan aspek pendidikan menjadi keutamaan dalam usaha membangunkan kehidupan rakyat dan memajukan negeri.
Beberapa buah sekolah menerima penghargaan atas kejayaan yang ditempa antaranya bagi kategori sekolah enrolmen calon kurang daripada 100 peratus semua A terbaik UPSR.
Berada dalam turutan senarai ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bharu Tok Dor (66.67 peratus), SK Kampung Bukit Hulu Nerus (55.56 peratus) dan SK Kampung Cabang (51.22 peratus) yang masing-masing menerima RM5,000; RM3,500; RM2,500 beserta piala dan sijil penghargaan.
Bagi kategori Gred Purata Sekolah terbaik, ia dimenangi oleh SK Dusun, Hulu Terengganu (1.23) dengan hadiah wang tunai RM3,000.
Kategori sekolah enrolmen calon lebih daripada 100 peratus semua A terbaik UPSR disandang oleh SK Tengku Mahmud (51.18 peratus), SK Kampung Raja (39.44 peratus), SK Sultan Sulaiman 1 (34.12 peratus) dan GPS terbaik diperoleh oleh SK Tengku Mahmud, Besut.
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Hwa, Dungun mula dinobatkan SJKC cemerlang (Semua A 7.84 peratus dan GPS 2.02) dengan hadiah wang tunai RM2,500.
Daerah Besut pula dipilih daerah terbaik semua A dalam UPSR dengan hadiah RM7,000 manakala setiap sekolah membawa pulang RM5,000, RM3,500 dan beserta piala serta sijil penghargaan.
Bagi kategori peratusan semua A terbaik PMR mengikut kategori sekolah, lima buah sekolah yang berada pada tahap itu dengan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud mendahului senarai (Sekolah Berasrama Penuh).
Ia diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud, Besut (Premier/ Kawalan), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek (SMKA).
Juga SMK Rantau Petronas (Harian) dan Sekolah Menengah Agama Khairiah (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan) dengan kesemua sekolah membawa pulang RM5,000, piala serta sijil penghargaan manakala Kuala Terengganu muncul daerah terbaik semua A.
Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam majlis yang diadakan serentak dengan pelancaran Program Pendidikan Anjung Ilmu (PPAI) 2012 di Wisma Darul Iman di sini.

Sumber - Utusan Malaysia Online

Ahad, 12 Februari 2012

Pendaftaran Calon Pelajar Program Pensiswazahan Guru(PPG) bagi PPPLD Ambilan Februari 2012 ke Institut Pendidikan Guru (IPG Kampus)

Sukacita dimaklumkan bahawa bagi tujuan pendaftaran calon pelajar Program Pensiswazahan Guru(PPG) bagi PPPLD Ambilan Februari 2012 ke Institut Pendidikan Guru (IPG Kampus) yang dijangka diadakan pada 11 dan 12 Februari 2012, sistem pendaftaran disediakan oleh Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM), KPM seperti di pautan ini. 

Khamis, 9 Februari 2012

Mesyuarat Redeployment Guru Sekolah Menengah Negeri Terengganu 2012


9 Februari 2012, SMK Padang Negara - Satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, En. Salim b. Ab. Ghani membincangkan satu mekanisme dan keputusan yang terbaik dalam melaksanakan 'redeployment' guru-guru sekolah menengah negeri Terengganu berdasarkan kelulusan perjawatan 2012, keperluan semasa sekolah, keperluan perkhidmatan mengikut opsyen dan pengisian semasa guru-guru. Mesyuarat turut dihadiri oleh PP Pengurusan Guru, PP PEngurusan Tingkatan Enam, PP Teknik dan Vokasional. Penyelia Kanan Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas serta semua Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Pengurusan Sekolah.
Dalam ucapan aluan pengerusi, beliau meminta ahli mesyuarat mengambil kira beberapa kriteria seperti keperluan opsyen di sekolah sedia ada dan juga keperluan di daerah, kes-kes kesihatan, tempoh perkhidmatan guru di sekolah semasa, jarak penempatan baru tidak melebihi had stesen yang dibenarkan dan sebagainya. Keperluan 'redeployment' juga mengambil kira permohonan pertukaran sesi Januari 2012 yang dipohon oleh guru-guru ke daerah yang dimohon tetapi tidak diluluskan atas keperluan semasa perkhidmatan.
Transformasi secara  efektif ini perlu difahami oleh semua guru sekolah menengah negeri Terengganu kerana keperluan kepada perjawatan sedia ada tidak 'semewah' dan 'selesa' sepertimana dahulu. Guru perlu bersedia di'gerakkan' atas keperluan perkhidmatan dan opsyen sepertimana penjawat awam bagi kementerian yang lain. Tarikh 'redeployment' yang dipersetujui oleh ahli mesyuarat berkuatkuasa 16 Februari 2012.


Selasa, 7 Februari 2012

Pengemaskinian Profil Murid

Kepada semua pengetua dan guru besar,
Sekolah-sekolah negeri Terengganu

Kementerian Pelajaran Malaysia telah membina Aplikasi Pangkalan Data Murid yang mengambil kira  profil murid dan penjaga. Pelaksanaan Pangkalan data murid ini adalah bertujuan untuk menjadikan ia sebagai satu pangkalan data utama bagi data murid yang boleh diguna pakai oleh semua aplikasi di KPM.
Bagi tujuan ini, disertakan panduan am penggunaan aplikasi seperti di Lampiran A, manakala manual panduan pengguna serta dokumen berkaian pengemaskinian data profil bolehlah dimuat turun pada laman aplikasi. Semua data murid ini perlu dikemaskini selewat-lewatnya pada 24 Februari 2012.

Pautan kepada  : Surat arahan  , Laman aplikasi

Denda sekolah kotor untuk jaga kesihatan pelajar


KUALA LUMPUR - Sekolah yang gagal menyediakan persekitaran bersih serta menyumbang kepada peningkatan kes kesihatan dalam kalangan pelajar wajar dikenakan tindakan denda.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, tindakan itu harus dilaksanakan demi kepentingan pelajar.
"Kegagalan pihak sekolah menyediakan kawasan pembelajaran yang bersih dan selesa menunjukkan pihak pengurusan sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan alpa dengan aspek tersebut.
"Ia juga bagaikan mendidik generasi akan datang bahawa isu kebersihan adalah tidak penting dan boleh diabaikan padahal ia merupakan antara perkara yang perlu dititikberatkan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman baru-baru ini bahawa sebanyak 20 peratus kes denggi di negara ini membabitkan pelajar sekolah.
Berdasarkan kes tahun lalu, sebanyak 4,222 daripada 19,884 kes denggi membabitkan golongan pelajar.
Dalam pada itu, Mohd. Ali turut mencadangkan agar setiap pelajar bermasalah dihukum dengan didikan menerusi kerja-kerja khidmat sosial seperti membersihkan kawasan sekolah masing-masing.
Jelasnya, hukuman yang boleh dikatakan sebagai 'serampang dua mata' itu bukan sahaja boleh mendidik mereka mengenai pentingnya menjaga kebersihan sekolah malah pada masa sama memastikan sekolah berkenaan sentiasa bersih.
"Selain daripada aktif menjalankan kempen-kempen kesedaran tentang isu kebersihan, pihak sekolah juga perlu menjalankan gotong-royong sekurang-kurangnya sebulan sekali.
"Jika tidak, kes-kes sebegitu tidak akan berkurangan dan turut akan memberi persepsi yang negatif kepada pihak luar tentang kealpaan institusi pelajaran," ujar beliau.

Sumber - Kosmo online

Dasar 60-40 Sains-Sastera pandangan guru perlu diambil


PENDEDAHAN bahawa hanya 29 peratus pelajar menuntut dalam aliran sains di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam tempatan menyedarkan kita masih jauh untuk mencapai sasaran Dasar 60-40 iaitu 60 peratus pelajar aliran sains dan 40 peratus pelajar aliran sastera.
Keadaan ini boleh menjejaskan matlamat Pelan Haja Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi dan usaha mencapai status negara maju menjelang 2020. Usaha berkesan perlu dilakukan untuk meningkatkan minat pelajar dalam aliran sains seperti galakan daripada ibu bapa dan keluarga, kualiti pengajaran guru, keberkesanan pengurusan sekolah, kemudahan prasarana, aktiviti kokurikulum akademik berasaskan sains, pengaruh rakan sebaya, peruntukan kewangan dan pelbagai insentif. Memang benar jika minat sudah meningkat maka mata pelajaran Sains tidaklah dianggap sukar.
Namun minat sahaja tidak cukup jika tidak disertai dengan disiplin belajar yang tinggi. Faktor paling penting ialah wujudnya kesedaran dalam diri individu pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh. Budaya kesungguhan belajar bermaksud amalan belajar dengan gigih, tekun, memberi tumpuan sepenuhnya dalam kelas, menghormati dan bertanya guru tentang pelajaran, mengulang kaji pelajaran dan membuat latihan tambahan di rumah, mempunyai jadual belajar dan kerap berbincang dengan rakan tentang pelajaran. Nilai belajar sedemikianlah yang selalu disebut calon cemerlang semasa ditemu bual pemberita sejurus menerima keputusan peperiksaan.
Dalam sistem pendidikan kita penentuan jurusan bermula di Tingkatan 4. Biasanya pelajar yang mendapat gred A atau B mata pelajaran Sains dan Matematik pada Penilaian Menengah Rendah (PMR) dijadikan ukuran kelayakan ke aliran sains.
Pelajar yang memperoleh lebih rendah daripada gred B dalam kedua mata pelajaran tersebut menghadapi kesukaran mengikuti pelajaran khususnya subjek Sains Tulen jika dipilih ke jurusan sains. Ini disebabkan penguasaan kemahiran dalam huraian sukatan pelajaran subjek tersebut agak lemah dan akibatnya mereka tidak berkemampuan mengikuti pelajaran di peringkat menengah atas yang memerlukan tahap kemahiran lebih tinggi. Kita perlu meningkatkan bilangan pelajar yang memperolehi sekurang-kurangnya gred B Sains dan Matematik dalam PMR. Sungguhpun kita ada sekolah berasrama penuh yang menjurus kepada aliran sains, sekolah ini dilihat sebagai tempat dalam proses mengumpulkan pelajar yang sudah cemerlang dari sekolah harian supaya kecemerlangan mereka dapat dimantapkan.
Untuk memenuhi kuota 60 peratus pelajar aliran sains kita perlu melihat bagaimana majoriti pelajar berprestasi sederhana di sekolah harian dapat ditingkatkan pencapaian mereka khususnya di peringkat menengah rendah. Program yang berkesan termasuk peruntukan dan insentif perlu dijurus ke arah kumpulan sasar pelajar berprestasi sederhana di sekolah harian. Pada 30 Januari lalu 15 buah sekolah diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) menjadikan jumlahnya 182. Kemudian pada 3 Februari 14 lagi sekolah dianugerah sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) menjadikan jumlahnya 66. Kita perlu merancang bagaimana penjenamaan SKK dan SBT dapat dijadikan pemangkin yang lebih berkesan dalam membantu mencapai matlamat Dasar 60-40. Elok juga jika difikirkan suatu bentuk penganugerahan untuk mengiktiraf sekolah yang berjaya meningkatkan pencapaian kumpulan pelajar berprestasi sederhana ke suatu tahap tertentu khususnya di peringkat PMR.
Dalam usaha mendapatkan maklum balas pelbagai pihak untuk merealisasikan Dasar 60-40, maka pandangan daripada guru amat penting.

HJ MOHD. ZIN MARKAM
Pontian

Sumber - Forum, Utusan Malaysia (6 Februari 2012)

Isnin, 6 Februari 2012

Tahniah Pasukan Perarakan JPN Terengganu


Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di Stadium Negeri, Kuala Terengganu disambut meriah dengan mencatat rekod penyertaan luar biasa lebih 20,000 umat Islam dari seluruh negeri.
Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan acara perarakan yang dimulakan seawal pukul 8 pagi melibatkan 794 organisasi. Kesemua mereka terdiri daripada 288 kontinjen mewakili Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), syarikat swasta (12), pasukan beruniform (6), sekolah dan institusi pengajian tinggi (40), jabatan kerajaan persekutuan (28) dan jabatan kerajaan negeri (23). Turut serta, badan bukan kerajaan (NGO) dan tadika kanak-kanak seramai 397 kontinjen.
Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu juga turut diwakili 40 orang peserta terdiri daripada pegawai, kakitangan dan guru-guru agama sekolah sekitar Kuala Terengganu. Perarakan sejauh kira-kira dua kilometer itu bermula dari Dataran Shahbandar ke perkarangan Stadium Negeri yang diketuai oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Turut menyertai perarakan ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB. Haji Khazan Che Mat; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan barisan Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.
Bagi pertandingan perarakan, kategori Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan  dimenangi oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu manakala Yayasan Islam Terengganu memenagi Kategori Jabatan Kerajaan Negeri dan Badan Berkanun Negeri, Kategori Sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin).

Garis panduan atasi keracunan makanan

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengeluarkan buku Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Sihat bagi mengelakkan berlakunya keracunan makanan dan mengurangkan masalah obesiti dalam kalangan pelajar yang sejak akhir-akhir ini dirujuk sebagai budaya pemakanan yang tidak seimbang.
Buku panduan tersebut turut menyenaraikan sejumlah 227 jenis makanan dan minuman yang boleh dijual di kantin-kantin sekolah di seluruh negara manakala proses menggredkan semua tahap kebersihan premis pengendalian makanan sedang giat dilaksanakan sejak tahun lalu.
Sehingga akhir tahun 2011, lebih sepuluh peratus daripada 10,000 sekolah telah diperiksa untuk digredkan sebagaimana dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ke atas premis-premis yang mengendalikan makanan kepada masyarakat umum.
Sesebuah kantin yang mencapai tahap kebersihan 90 peratus ke atas akan diberikan tahap kebersihan A, memperoleh skor antara 70 hingga 89 peratus dikategorikan B, 50 hingga 69 peratus tahap C dan kurang daripada 50 peratus akan dikategorikan sebagai D.
Sesebuah kantin yang mencapai tahap D akan diberikan amaran dan dalam tempoh tertentu jika tahap kebersihannya tidak berubah, pengendali kantin tersebut akan diberikan arahan tutup manakala pengendali makanan dari luar akan diberikan peluang sementara untuk menjual makanan di sekolah sebelum proses tawaran semula dilaksanakan.
Bagi mengelakkan sebarang masalah, pengendali kantin yang diarahkan tutup tidak lagi akan dipertimbangkan pada masa depan untuk mengambil bahagian dalam mengendalikan kantin di sekolah-sekolah.
Sepanjang tahun 2011, terdapat sejumlah 220 kes keracunan makanan di sekolah dan melibatkan sejumlah 8,010 pelajar di seluruh negara.
Episod keracunan makanan di sekolah telah dikesan berlaku dalam tiga keadaan iaitu ke atas program susu 1Malaysia (97 kes), kantin sekolah (45 kes) dan makanan di asrama (78 kes).
Keracunan ke atas program susu 1Malaysia paling banyak dikesan berlaku di Kelantan (24 kes), Terengganu dan Perak (masing-masing 12 kes), Selangor dan Johor (masing-masing 9 kes), Melaka (8 kes), Negeri Sembilan (7), Pahang (6), Sarawak (4), Kedah (3), Pulau Pinang (2) dan Perlis (1).
Sebahagian besar masalah keracunan program susu 1 Malaysia berlaku adalah sikap para pelajar yang tidak dapat menghabiskan sekotak susu yang dibekalkan itu dalam tempoh yang ditetapkan.
Apabila kotak susu itu dibiarkan tanpa disimpan dalam peti sejuk, ia akan menyebabkan susu tersebut terkena udara dan menjadi cepat masam.
Dalam keadaan susu yang masam itu, apabila diminum untuk kali berikutnya akan menyebabkan peminumnya akan berhadapan dengan muntah-muntah dan loya. Situasi inilah yang kemudiannya dinamakan keracunan akibat meminum susu.
Ada juga yang disebabkan faktor cara penyimpanan susu yang tidak sesuai di mana premis yang dijadikan stor simpanan tidak bersih atau tidak mempunyai kemudahan bilik sejuk.
Kes keracunan yang berpunca daripada mengambil makanan yang dijual dikantin paling banyak berlaku di Johor (11 kes), masing-masing 3 kes berlaku di Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu dan Kelantan manakala di Perlis satu kes.
Faktor utama kejadian itu adalah disebabkan oleh makanan yang dijual telah basi, persekitaran kantin yang kurang bersih (termasuk peralatan memasak) dan sikap pekerja kantin yang tidak mementingkan kesihatan.
Kes-kes keracunan yang melibatkan pelajar di asrama sekolah berlaku paling banyak di Johor (13 kes), Sabah (10 kes), Sarawak (8 kes), Melaka dan Perak (masing-masing 7 kes), Selangor dan Pulau Pinang (masing-masing 6 kes), Kedah (5 kes) dan Terengganu (4 kes).
Manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang pula masing-masing satu kes.

Pemakanan sihat elak obesiti


Bagi mengurangkan masalan obesiti di kalangan pelajar, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia akan memulakan usaha mengambil data berat badan unggul setiap pelajar sebanyak dua kali setahun berbanding sekali sebelumnya.
Tujuan utama data ini diambil sebanyak dua kali ialah untuk melihat sejauh manakah program budaya pemakanan sihat dapat memberikan kesan.
Bagi memberikan kesedaran dalam kalangan pelajar, seluruh kantin sekolah akan dipamerkan poster yang mengandungi tahap kalori sesuatu jenis makanan yang bakal diambil manakala para pengendalinya dilarang menjual makanan dan minuman yang melanggar Peraturan-Peraturan Makanan 1985 (makanan luput tarikh dan semua jenis makanan yang berupa permainan atau dijual bersama permainan seperti cincin, gambar, belon dan lain-lain), gula-gula dan coklat, makanan yang dijeruk, makanan ringan dan minuman beralkohol.
Jenis-jenis makanan yang tidak digalakkan dijual pula ialah mi segera, konfeksi ais dan ais krim, teh dan kopi, minuman berperisa kabornat, makanan berkrim atau bersalut gula dan makanan yang diproses (burger, nugget dan sosej).
Buku panduan tersebut turut menggariskan tanggungjawab pengendali kantin sekolah, Jawatankuasa Kantin Sekolah, pengetua atau guru besar dan proses perolehan penyewaan serta pengurusan kantin.
Usaha menerbitkan buku panduan ini adalah menerusi kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam aspek ukuran tahap kebersihan, prosedur pengendalian kantin bagi mengelakkan sebarang masalah keracunan dan membantu mengatasi masalah obesiti dalam kalangan pelajar.
Berdasarkan satu kajian yang dilaksanakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia terdapat peningkatan yang ketara masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak sekolah yang berumur enam hingga 12 tahun iaitu dari 9.7 peratus (2001) kepada 13.7 peratus (2007).
Meskipun peningkatan tersebut tidak membimbangkan, jika pembudayaan kaedah pemakanan sihat dan mengubah jenis-jenis pemakanan tidak dilaksanakan, tahap obesiti masyarakat Malaysia dijangka akan meningkat dengan cepat.
Faktor yang mendorong kepada peningkatan tahap obesiti ialah disebabkan kegemaran ibu bapa membawa anak-anak mereka keluar makan pada waktu malam dan kanak-kanak gemar mengambil jenis-jenis makanan ringan.
Faktor cara makan juga boleh menyumbang kepada masalah obesity bila mana makanan tersebut tidak dikunyah dengan sempurna sebelum ditelan oleh seseorang.
Masyarakat juga dilihat semakin kurang melakukan aktiviti fizikal dan lebih gemar menghabiskan masa lapang dengan menonton televisyen, gajet elektronik dan permainan video, melayari Internet serta tidur selepas kekenyangan.

Terima Kasih Cikgu.....

GURU Kanan Bahasa Melayu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Jalilah Othman bersara wajib selepas berkhidmat selama lebih 20 tahun di sekolah berkenaan.
Dalam ucapan perpisahannya, beliau menasihatkan guru dan pelajar supaya membina kekuatan diri melalui ciri sahsiah yang dinamik, berpersonaliti unggul dan sentiasa bersikap positif dalam mendepani sebarang cabaran.
"Dengan pendekatan ini, guru dan pelajar akan dapat mencapai sesuatu matlamat yang ditetapkan," katanya di Kuala Terengganu, baru-baru ini
Beliau menambah, kerjasama antara guru dan komitmen pelajar akan membuahkan hasil ke arah mencapai kecemerlangan di sekolah.
Majlis Jasamu Tetap Dikenang itu disertai oleh 1283 pelajar serta 145 guru dan kaki tangan sokongan sekolah tersebut.

Sumber - Utusan Malaysia

Sukarelawan dari AS mula mengajar BI



Abdullah Mamat mengalu-alukan kedatangan ETA dari Amerika Syarikat, Hanna Car
ke SMK Kompleks Gong Badak di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Gong Badak, Kuala Terengganu bertuah kerana menerima seorang English Teaching Assistant (ETA), Hanna Car dari Oregan, Amerika Syarikat (AS) untuk mengajar bahasa Inggeris (BI) di sekolah itu, baru-baru ini.
Pengetua sekolah itu, Abdullah Mamat berkata, kehadiran ETA ini selaras dengan dasar Kementerian Pelajaran untuk Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
"Dengan adanya ETA ini akan memberi banyak manfaat kepada seluruh warga sekolah kerana dapat membantu meningkatkan komunikasi dan mata pelajaran Bahasa Inggeris," katanya.
Secara keseluruhan, seramai 50 orang ETA dari Amerika Syarikat telah dihantar ke sekolah-sekolah di Terengganu (17 orang), Kelantan (17 orang) dan Johor (16 orang).
Sementara itu, Hanna memberitahu, beliau telah merancang pelbagai aktiviti bahasa Inggeris bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar di sekolah berkenaan.
"Saya mahu membantu meningkatkan komunikasi pelajar menggunakan bahasa Inggeris dalam tempoh sembilan bulan ini," ujarnya.

Sumber - Utusan Malaysia

Jumaat, 3 Februari 2012

Pendidik mula terima kesan kekurangan pelajar sehingga terpaksa mengajar subjek lain



TANJUNG MALIM: Seramai 13,000 graduan mengajar Sains dan Matematik di seluruh negara mula menerima kesan penurunan pelajar mengambil jurusan sains sehingga ada yang terpaksa mengikuti latihan semula subjek lain.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Kementerian Pelajaran perlu menghantar graduan ke universiti untuk dilatih kemahiran baru bagi mengelak berlaku pengangguran.
“Kalau kita hantar mereka ke sekolah untuk mengajar Sains dan Matematik sedangkan pelajar tidak berminat, keadaan itu tidak wajar,” katanya pada sidang media selepas melawat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini semalam. 

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Rujhan Mustafa dan Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Tan Sri Abi Musa Assari Mohamed Nor. 

Mohamed Khaled mengulas taklimat Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa yang berkata, berlaku lambakan 13,000 graduan Sains dan Matematik seluruh negara yang dihantar ke universiti itu untuk latihan semula. 

Turut menyumbang masalah ialah perubahan dasar persaraan wajib penjawat awam daripada 58 tahun kepada 60 tahun. 
Bagaimanapun, Zakaria berkata, masalah itu tidak berlaku di UPSI berikutan usahanya menawarkan subjek minor seperti Sejarah kepada pelajar jurusan Sains dan Matematik bagi mengelak berlaku pembaziran tenaga pengajar. 

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan guru opsyen Matematik dan Sains terpaksa mengajar pelbagai subjek lain, termasuk Pendidikan Jasmani dan Pengetahuan Agama Islam berikutan lebihan guru di sekolah di seluruh negara. 

Mohamed Khaled pada amanat tahun barunya dilaporkan berkata, sejak 2007, peratus pelajar mengambil jurusan sains menurun sehingga 29 peratus tahun ini. 

Keadaan itu berterusan ke peringkat universiti, jika berlanjutan boleh membantutkan usaha meningkatkan inovasi teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi. 

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, pihaknya bangga UPSI muncul universiti pertama menubuhkan sekolah makmal yang menempatkan sekolah bermula prasekolah sehingga Tingkatan Enam Atas di kawasan universiti. 

Katanya, ketika ini 70 murid berpeluang mengikuti sesi belajar peringkat prasekolah dan pengambilan pertama murid Tahun Satu bermula sesi pengajian tahun depan, membabitkan 50 murid yang dibahagikan kepada dua kelas. 

Katanya, pelaksanaan sekolah makmal ini adalah secara berperingkat dan apabila dilaksanakan sepenuhnya kemasukan keseluruhan pelajar adalah 600 orang. 

Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan MBMMBI Negeri Terengganu




Mesyuarat ini dipengerusikan oleh urusetia MBMMBI JPNT, Pn. Siti Rohaya bt. Mohd Nor dan dihadiri oleh semua Penolong Pegawai Pelajaran Daerah (Pengurusan Sekolah), Penolong Pengarah Projek/SBP/SKK, Penolong Pengarah Data & ABM dan Pegawai Sektor Pengurusan Akademik di Hotel Shahzan Inn pada 3 Februari 2012.
Objektif mesyuarat tersebut adalah untuk menyelaras tugasan dan 'Standard Operating Procedure' bagi Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu untuk pelaksanaan MBMMBI. Sektor Pengurusan Sekolah dan Penolong Pegawai Pelajaran Daerah (Pengurusan Sekolah) telah dilantik menjadi urusetia.

Khamis, 2 Februari 2012

Mesyuarat Semakan Perjawatan 2012 dan Verifikasi Data Opmen 31 Januari 2012



Mesyuarat semakan perjawatan dan verifikasi data OPMEN status 31 Januari 2012 telah berjaya dilaksanakan pada 1 hingga 3 Februari 2012 di Hotel Shahzan Inn, Kuantan. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh En. Zakariah b. Ali, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dengan dihadiri oleh semua Penolong Pegawai Pelajaran Daerah (Pengurusan Sekolah) setiap daerah, Penolong Pengarah Pengurusan Guru,Penolong Pengarah Data & ABM, Penolong Pengarah Projek Khas/SBP/SKK, Penolong Pengarah Pengurusan Murid dan Penyelia Pendidikan Khas. Intipati daripada ucap utama Tuan Ketua Sektor, senario semasa di Terengganu adalah jumlah murid yang semakin menyusut di sekolah menengah harian di negeri Terengganu. Kesannya kepada keperluan perjawatan yang diperlukan. Apa yang berlaku ialah pada musim permohonan pertukaran guru, sejumlah ribuan guru di luar negeri Terengganu yang memohon kembali bertugas di negeri asal. 
Tujuan utama mesyuarat adalah untuk membuat semakan keperluan sebenar perjawatan guru di sekolah menengah harian, sekolah menengah bestari dan sekolah menengah model khas bagi sesi persekolahan 2012. Keperluan perjawatan tersebut diambilkira berdasarkan operasi sebenar kelas akademik, kelas aliran agama, kelas tingkatan enam, kelas mata pelajaran vokasional dan kelas matapelajaran teknikal yang disemak melalui sistem aplikasi OPMEN. Rumusan daripada mesyuarat tersebut, keperluan perjawatan di negeri Terengganu semakin 'mengecil' disebabkan bilangan murid yang semakin berkurangan dari tahun ke tahun. Hakikatnya, guru-guru di sekolah menengah harian negeri Terengganu perlu bersedia pada sebarang keadaan semasa. Apabila keperluan guru berkurangan menyebabkan ada sekolah yang pengisiannya melebihi daripada keperluan. Maka 'redeployment' atau arahan pertukaran terpaksa dilaksanakan sebaik mungkin oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu mengikut keperluan sebenar semasa sekolah, "school base". Sesuatu yang di luar jangkaan, jika sebelum ini ada daerah yang mengalami 'defisit' guru yang agak besar, tetapi dengan pengurangan kelas yang beroperasi dan juga pindaan norma perjawatan bagi kelas MPT Perdagangan dan Prinsip Akaun daripada 0.5n kepada 0.2n menyebabkan 'defisit' tersebut menjadi kecil.  






Rabu, 1 Februari 2012

Semakan Penempatan Program Pensiswazahan Guru Ambilan Februari 2012 bagi PPPLD



 Sukacita dimaklumkan bahawa keputusan dan penempatan bagi Program Pensiswazahan Guru Ambilan Februari 2012 bagi PPPLD telah boleh disemak di sini. Sila beri maklumbalas, muat turun dan setak surat-surat dan bahan yang disediakan bagi mereka yang berjaya ditawarkan. Sebarang pertanyaan berkenaan program sila hubungi pihak Bahagian Pendidikan Guru di 03 8884/1269/1270/1272/1053.

Pengemaskinian Profil Murid


Makluman kepada semua Pengetua dan Guru Besar

Arahan pengemaskinian profil murid pada aplikasi pangkalan data murid secara atas talian.

Sukacita dilampirkan Surat Arahan seperti lampiran  dibawah :

Borang Permohonan Program Matrikulasi Sesi 2012/2013


Bahagian Matrikulasi akan membuka permohonan untuk mengemaskini borang permohonan mulai 6 Februari hingga 20 Februari 2012.
Untuk mengemaskini, pelajar hanya perlu memasukkan nombor angka giliran SPM atau kad pengenalan sahaja. 
Pelajar SPM 2011 yang telah mengisi borang permohonan melalui internet diminta untuk mengemaskini maklumat tambahan di laman sesawang  http://apps.moe.gov.my/permohonan_matrikulasi/kemaskini