DUNGUN - Kegembiraan empat sahabat menghabiskan cuti sempena Tahun Baru Cina dengan mandi manda di pantai berakhir dengan tragedi setelah seorang daripada mereka lemas di Pantai Teluk Bidara, di sini, petang semalam.

Mangsa Mohd Alif Asyari Norhanuddin,16, dipercayai terjerlus ke dalam pasir sebelum terkapai-kapai meminta pertolongan daripada rakannya di situ kira-kira pukul 1.30 petang.

Ketika kejadian, pelajar Sekolah Menengah Pulau Serai, di sini, itu dikatakan bersama tiga sahabatnya, Mohd Arif Aizat Azman,16, Abd Halim Zakaria,16 serta Amirul Abd Jalil,16 mengunjungi pantai berkenaan untuk mandi di pantai itu, sejam sebelum kejadian.

Sebaik melihat mangsa terkapai-kapai, rakannya, Mohd Arif Aizat dikatakan berenang ke arah mangsa sebelum berusaha menariknya namun gagal berikutan arus yang agak deras.

Mohd Arif Aizat menjerit meminta bantuan daripada dua lagi rakannya sebelum mereka berusaha menarik dan berjaya menaikkan mangsa ke daratan.

Mangsa ketika itu masih bernafas dalam keadaan mulutnya berbuih dan beliau sempat diajar mengucap oleh Mohd Arif Aizat manakala dua lagi rakannya meminta bantuan penduduk kampung di situ.

Mohd Alif Asyari kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2 petang ketika dalam perjalanan ke hospital.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau turut menasihati ibu bapa supaya tidak membiarkan anak mereka mandi di pantai memandangkan keadaan musim tengkujuh masih belum berakhir.- Bernama