Isnin, 16 Januari 2012

Banjir landa Setiu, dua sekolah ditutup

Pelajar mengangkat rak buku di SK Kampung Buluh Setiu

SETIU 15 Jan. - Hujan lebat dan berterusan menyebabkan banjir di daerah ini dengan seramai 566 orang daripada 155 keluarga terpaksa dipindahkan sejak malam tadi.
Ia turut menyebabkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Besut dan SK Kampung Buloh di sini ditutup sementara hari ini sehingga keadaan kembali pulih.
Kesemua mangsa ditempatkan di tujuh pusat pemindahan iaitu di Balai Raya Kampung Tasek, Masjid Lama Permaisuri, Balai Raya Hulu Seladang, Balai Raya Kampung Besut, Surau Pekan Sehari Bandar Permaisuri, SK Kampung Besut dan Surau Kampung Besut.
Namun, sebahagian besar mereka beransur pulang petang ini apabila keadaan semakin baik dengan hanya satu pusat pemindahan masih dibuka petang ini iaitu di kampung Tasek.
Mereka dipindahkan berikutan kawasan kediaman dinaiki air sedalam kira-kira satu hingga dua meter akibat limpahan sungai berdekatan.
Ini kali kedua SK Besut terpaksa ditutup akibat banjir selepas kejadian pertama pada musim persekolahan dibuka kira-kira dua minggu lalu.
Sementara itu, jurucakap Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Setiu berkata, dua sekolah yang ditutup itu melibatkan seramai 736 murid dan mereka dibenarkan bercuti untuk sementara waktu, sehingga keadaan kembali pulih.
"Sekiranya keadaan tidak berubah, sekolah akan terus ditutup dan murid akan ganti cuti pada Sabtu," katanya.
Pada awal musim baru persekolahan dua minggu lalu, banjir turut melanda Kampung Pelong dan Kampung Jalan Hulu dekat sini menyebabkan SK Kampung Besut dan Kampung Bukit terpaksa ditutup.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya sedang meneliti laporan mengenai punca sebenar banjir di kawasan itu.

Sumber - Utusan Malaysia online