Selasa, 8 Januari 2013

Sekolah Imtiaz di setiap daerah


KUALA TERENGGANU 6 Dis. - Sekolah Imtiaz yang dikelolakan Yayasan Terengganu (YT) dijangka ditubuhkan di setiap daerah di negeri ini tidak lama lagi.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ketika ini, sekolah tersebut hanya ada di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Besut, Dungun dan Hulu Terengganu.
"Sebuah lagi Sekolah Imtiaz kini sedang dalam pembinaan di Kemaman dan menelan belanja kira-kira RM60 juta.
"Apabila sekolah itu siap sepenuhnya kelak, kerajaan negeri bercadang membina sekurang-kurangnya dua lagi Sekolah Imtiaz iaitu masing-masing satu di Setiu dan Marang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Al-Quran Sekolah-Sekolah Imtiaz Yayasan Terengganu 2012 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengarah YT, Zakaria Yusof serta keempat-empat pengetua Sekolah Imtiaz berkenaan.
Pada majlis itu, sebanyak 307 bekas pelajar tingkatan lima Sekolah Imtiaz menerima sijil tamat pengajian masing-masing manakala 287 pelajar pula menerima sijil penghargaan serta wang tunai sebanyak RM1,000 yang disumbangkan kerajaan negeri kerana berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.
Turut diadakan penyampaian beberapa anugerah termasuk Anugerah Khas Menteri Besar Terengganu, Anugerah Khas Ulul Albab, Anugerah Muhammad Al-Fateh (Kepimpinan), Anugerah Imam As-Syafie (Personaliti), Anugerah Al-Farabi (Kokurikulum) serta Anugerah Ibnu Sina (Akademik).
Dalam pada itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri akan terus mengekalkan kuota sebanyak 90 peratus untuk anak negeri bagi memasuki sekolah berkenaan.
"Setakat ini, kita hanya beri 10 peratus kuota untuk pelajar yang bukan berasal dari negeri ini dan kita bercadang mengekalkan kuota itu walaupun dapat banyak permintaan daripada pelajar luar Terengganu untuk memasuki sekolah ini," ujar beliau.
Ketika ini, terdapat 1,961 pelajar yang mengikuti pengajian di lima buah sekolah berkenaan termasuk pelajar dari kampus sementara di Kemaman.


Sumber -  Utusan Melayu (M) Bhd