Ahad, 20 Januari 2013

Komputer ganti buku teks



Mobile, Alabama 18 Jan. - Komputer riba bakal menggantikan penggunaan buku teks di sekolah-sekolah dalam usaha kerajaan meningkatkan standard pembelajaran di Malaysia bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang tetapi juga mempunyai pelbagai kemahiran.
Melalui sistem itu, skim pinjaman buku teks akan digantikan dengan pinjaman komputer riba yang mana akan dipulangkan oleh para pelajar setiap kali selesai sesi persekolahan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, itu merupakan antara kaedah yang boleh diteliti oleh Kementerian Pelajaran supaya sistem pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah selari dengan perkembangan teknologi terkini.
“Malaysia kena beri perhatian dan menumpukan kepada standard pembelajaran yang lebih tinggi supaya para pelajar lebih fokus, ada kemahiran berfikir, kreatif dan holistik," katanya kepada wartawan Malaysia selepas melakukan lawatan ke Sekolah Tinggi Daphne di sini, semalam.

Sumber - Utusan Malaysia Online
Sekolah tersebut yang merupakan sekolah yang disenaraikan di bawah Program Sekolah Reben Biru dalam sistem pendidikan Amerika Syarikat (AS) berjaya melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi turut menonjolkan dalam pelbagai bidang lain seperti sukan, muzik dan kebudayaan.
Program Sekolah Reben Biru di AS merupakan simbol kepada kecemerlangan pendidikan yang ketika ini melibatkan 7,000 buah sekolah di negara itu.
Melalui program tersebut, sekolah-sekolah terbabit diiktiraf melalui dua kriteria iaitu pencapaian tertinggi dalam bidang akademik dan sekolah yang memiliki sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar dengan latar belakang kurang menarik tetapi menunjukkan peningkatan memberangsangkan daripada segi kejayaan yang dicapai oleh pelajar.
Sehubungan itu kata Muhyiddin, pelaksanaan sistem di sekolah terbabit termasuk pengajaran dan pembelajaran tanpa kertas iaitu bergantung sepenuhnya kepada penggunaan komputer riba boleh dicontohi oleh Malaysia.
“Mereka juga hebat dalam bidang sukan selain membina personaliti pelajar. Ini menunjukkan tahap kecemerlangan yang boleh dijadikan contoh," katanya.
Lagi pula, kata Muhyiddin, Kementerian Pelajaran kini sedang giat meningkatkan prasarana berasaskan teknologi maklumat di sekolah-sekolah di seluruh negara yang merupakan persediaan untuk memodenkan sistem pendidikan terutama kaedah pembelajaran di dalam kelas.
Katanya, di samping penggunaan alat-alat berkaitan dengan teknologi komunikasi maklumat (ICT), dalam tempoh setahun akan datang semua sekolah akan memiliki kemudahan Internet 4G.
Selepas itu, katanya, pihak kementerian mungkin boleh meneliti kemungkinan menggantikan skim pinjaman buku teks dengan pinjaman komputer riba.
Sementara itu, Muhyidin yang dalam lawatan kerja sehari ke AS meluangkan masa kira-kira dua jam melawat Sekolah Tinggi Daphne termasuk melihat kemudahan yang terdapat di sekolah berkenaan sama ada membabitkan akademik mahupun aktiviti kokurikulum.
Timbalan Perdana Menteri turut meninjau kaedah pembelajaran dalam kelas di sekolah tersebut yang mana setiap pelajarnya tidak bergantung kepada buku teks, sebaliknya menggunakan komputer riba sepenuhnya yang dibekalkan oleh pihak sekolah.
Sehubungan itu beliau berharap beberapa sekolah di Malaysia akan berhubung dengan Sekolah Tinggi Daphne bagi berkongsi pengalaman dalam bidang pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan teknologi terkini.
Dalam lawatan itu Muhyiddin turut berdialog dengan pelajar-pelajar sekolah tersebut yang antara lain menyentuh mengenai perkembangan pendidikan di Malaysia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130119/dn_03/Komputer-ganti-buku-teks#ixzz2IT4wSAr2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130119/dn_03/Komputer-ganti-buku-teks#ixzz2IT4pkN9C
© Utusan Melayu (M) Bhd