Rabu, 16 Januari 2013

Empat inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia


Putrajaya,11 Jan : Kementerian Pelajaran akan memberi fokus kepada empat inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dalam tempoh 100 hari pertama tahun ini.

Inisiatif pertama ialah memperkenalkan Program Rakan Pembimbing Peningkatan Sekolah (SI Partners) Plus dan Program Jurulatih Khas Peningkatan Sekolah (SISC) Plus di Kedah dan Sabah.

Ia sebahagian usaha membimbing guru Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris (BI) dan Matematik, terutama di sekolah yang berada dalam Band Lima, Enam dan Tujuh. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kedua-dua program itu memberi faedah kepada pengetua, guru besar dan guru.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, inisiatif kedua ialah menilai 70,000 guru opsyen BI menerusi Cambridge Placement Test (CPT) dan kemudian guru dibahagi mengikut tiga kategori berdasarkan keputusan ujian .

Bagi guru yang tidak mencapai tahap kemahiran ditetapkan, latihan separuh masa akan diberikan. Dalam 100 hari ini, kementerian bercadang melatih 5,000 guru BI, ketika menyampaikan perutusan tahun baru kementeriannya di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, inisiatif  PPPM lain dalam Gelombang Pertama 2013, seperti meningkatkan kemahiran berfikiran aras tinggi (HOTS) dalam kalangan murid diteruskan. 

Latihan HOTS membabitkan 31,000 guru Sains dan Matematik Tingkatan Satu, Dua dan Tiga dilaksanakan dengan harapan menjelang akhir Gelombang Pertama, kira-kira 20 peratus soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) adalah berasakan pemikiran aras tinggi.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, bagi memperlihat kejayaan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), lapan keberhasilan perlu dicapai menjelang akhir tahun ini, termasuk 100 peratus literasi bahasa Malaysia.

Katanya, keberhasilan lain ialah numerasi Tahun Tiga serta peningkatan ketara literasi bahasa Inggeris (BI).

Ini termasuk memastikan 100 peratus guru opsyen BI lulus satu tahap penguasaan lebih tinggi dalam Ujian Penempatan Cambridge (CPT) serta 50 peratus pengurangan sekolah Band enam dan tujuh di Kedah dan Sabah.

Sumber : Berita Harian Online