Selasa, 29 Januari 2013


Awalan ter- ialah awalan asli bahasa Melayu. Awalan ter- ini dapat digabungkan dengan kata dasar daripada pelbagai golongan kata utama (kata nama, kata kerja dan kata adjektif) bagi membentuk kata kerja terbitan.
Misalnya, daripada kata nama buku, dayung, nama, paku dan pelajar terbitlah kata kerja terbuku, terdayung, ternama, terpaku, dan terpelajar. Daripada kata kerja transitif ambil, beli, makan, pukul dan suruh lahir kata kerja terambil, terbeli, termakan, terpukul, dan tersuruh. Kemudian, daripada golongan kata kerja tak transitif baring, duduk, diam, jatuh dan sandar, terbit kata kerja terbaring, terduduk, terdiam, terjatuh dan tersandar.
Daripada kata adjektif baik, cantik, masyhur, pandai dan tinggi, terbit kata kerja terbaik, tercantik, termasyhur, terpandai, dan tertinggi.
Kata kerja (KK) dengan awalan ter- terdiri daripada dua jenis, iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif. Kata kerja transitif itu pula terbahagi kepada dua bentuk lagi, iaitu kata kerja transitif aktif, dan kata kerja transitif pasif.
Kata kerja transitif aktif ialah kata kerja yang diikuti oleh objek atau penyambut, dan objek atau penyambut itu hendaklah terdiri daripada frasa nama.

Peraturan ini samalah seperti objek yang mengikuti kata kerja transitif aktif berawalan me-. Perhatikan ayat-ayat yang berikut ini:
1. Ruslan terbaca buku yang tebal itu.
2. Adik termakan lauk yang pedas ini.
3. Ramlah membaca majalah Dewan Siswa.
4. Pembinaan pangsapuri itu telah memakan masa dua tahun.
Kata-kata buku dan lauk dalam ayat 1 dan 2 ialah objek kata kerja terbaca dan termakan, sementara Dewan Siswa dan masa satu tahun dalam ayat 3 dan 4 ialah objek kata kerja berawalan me-, iaitu memakan dan membaca. Semua objek yang berkenaan terdiri daripada frasa nama belaka.
Demikianlah persamaan yang terdapat antara kata kerja transitif aktif berawalan ter- dengan kata kerja transitif aktif berawalan me-.
Dalam bahasa Melayu juga, ada kata kerja yang terhasil daripada gabungan kata dasar dengan imbuhan ter- berfungsi sebagai kata kerja ayat pasif.
Contoh:
5. Kulit pisang itu terpijak oleh Razid.
6. Pasukan bola baling sekolah tertewas oleh pasukan pelawat.
Dalam ayat-ayat di atas, unsur pasif dinyatakan melalui struktur kata kerja berawalan tertewas oleh pasukan pelawat.
Dalam ayat pasif ini, struktur oleh + frasa nama membawa maksud pelengkap pelaku, iaitu yang menerima akibat sesuatu perbuatan.
Kadang-kadang seluruh struktur oleh + frasa nama digugurkan, meninggalkan susunan ayat dengan kata kerja berawalan ter- sahaja, tetapi disedari bermaksud pasifnya kerana makna yang tergambar, iaitu yang sedia dan telah sempurna jadinya. Contoh:
7. Pakaian seragam itu terpakai di sekolah kami.
Berasal daripada ayat “Pakaian seragam itu terpakai oleh kami di sekolah kami."
Kata kerja tak transitif dengan awalan ter- pula ialah kata kerja yang tidak memerlukan objek atau penyambut sesudahnya, tetapi dapat diikuti oleh pelengkap. Contoh:
8. Mohamad terduduk setelah mendengar berita itu.
9. Pekerja kontrak itu tersandar di tiang bangunan.
10. Murid-murid terdiam apabila dimarahi pengetua.
Ungkapan setelah mendengar berita itu (ayat 8), di tiang bangunan (ayat 9), dan apabila dimarahi pengetua (ayat 10) ialah pelengkap kepada kata kerja terduduk, tersandar dan terdiam.
Demikianlah huraian tentang awalan ter- dalam bahasa Melayu yang membentuk kata kerja terbitan. Anda harus berhati-hati sewaktu menggunakan ayat yang berawalan ter- kerana adakalanya ayat itu berbentuk aktif, dan ada ketikanya pula berbentuk pasif.


Sumber - Utusan Melayu (M) Bhd