Ahad, 20 Januari 2013

Jangan salah guna IT

AMPUNG TAJIN - Individu berkemahiran dalam teknologi maklumat (IT) atau bidang berkaitan komputer diharap tidak menyalahkan kelebihan tersebut untuk menyebarkan perkara negatif terhadap pihak lain melalui internet atau sebagainya.Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, penyebaran tersebut dikhuatiri mengundang senario tidak diingini termasuk membangkitkan kemarahan orang ramai terhadap sesuatu pihak sekali gus menggoyahkan perpaduan.
“Dunia hari ini, segala maklumat berada di hujung jari. Malah, maklumat dan perkembangan semasa seluruh negara dapat diketahui dalam jangka masa singkat. Oleh sebab itu, internet memberi pengaruh besar dalam kehidupan seharian.
“Oleh itu, perlu diingatkan agar perkembangan teknologi ini tidak digunakan ke arah negatif dengan menjadikannya medium untuk menghasut atau menyebarkan perkara tidak benar terhadap sesuatu pihak termasuk kerajaan," katanya.
Sementara itu, beliau enolak dakwaan segelintir pihak mendakwa Kerajaan negeri melakukan pembaziran melalui pengagihan e-Book kepada murid.
“Kita tidak tahu membazirkan dari aspek mana kerana bukan semua ibu bapa berkemampuan.
"Malah, kecemerlangan demi kecemerlangan pendidikan diperoleh di negeri ini telah menyebabkan negeri-negeri lain mulai ‘takut’ sehinggakan ada pihak yang menyebarkan perkara bukan-bukan. Kita juga turut digeruni dalam bidang sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kontrak Perkhidmatan Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) dan Juruteknik Komputer (TSO) di Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT) di sini, kelmarin melibatkan seramai 68 individu.
Hadir sama pada program berkenaan, Pengarah Eksekutif Tesdec Services Sdn.Bhd, Che Razali Adis; Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Terengganu, Shafruddin Ali Hussein dan Pengetua Sahut, Ramlah Endut.
Tambah Rozi yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec Services Sdn.Bhd, sehingga Januari tahun ini, seramai 484 EIO telah ditempatkan di sekolah rendah, menengah, jabatan-jabatan serta pusat bestari (Bes.comm) di seluruh Terengganu.

Sumber - Sinar Harian