Selasa, 29 Januari 2013

Elemen vokasional dalam sekolah K9


Konsep Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) yang mengandungi elemen Pendidikan Asas Vokasional (PAV) di peringkat menengah rendah di semua sekolah menengah harian diyakini dapat melengkapi murid Orang Asli dengan pelbagai kemahiran sebagai persiapan sebelum memasuki alam pekerjaan.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Datuk Mazlan Mohamad berkata, melalui PAV murid akan dididik dengan pembelajaran kerjaya yang banyak dipengaruhi faktor persekitaran selain hutan melalui kemahiran diri antaranya termasuklah pertukangan, automotif, solekan dan kemahiran hidup lain.
“Misalnya, di Sekolah Kebangsaan (SK) Betau, pelajar Orang Asli K9 di Kuala Lipis, Pahang itu diajar menerusi kecenderungan mereka sendiri yang lebih kepada kemahiran automotif dan solekan di kalangan pelajar perempuan,’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
Pendekatan itu merupakan satu daripada tujuh teras utama untuk memastikan pengupayaan kualiti pendidikan Orang Asli di samping bertujuan mengurangkan kadar keciciran pada kadar enam peratus setahun mulai tahun depan.
Bagi mencapai sasaran itu, kementerian akan memperluas sekolah-sekolah berkonsepkan K9 demi meningkatkan kualiti pembangunan pendidikan di kalangan anak-anak Orang Asli dan mereka yang tinggal jauh di kawasan pedalaman.
Menurutnya, salah satu keistimewaan sekolah K9 ialah dilengkapi dengan kemudahan bilik darjah yang selesa serta kemudahan asrama lelaki dan perempuan bagi mereka yang tinggal jauh.

Sekolah-sekolah ini akan menempatkan pelajar dari tahun satu sehingga tingkatan tiga, bermakna, pelajar ini akan menghabiskan pengajian mereka di sekolah yang sama selama sembilan tahun dan sebab itu kita namakannya sebagai K9," jelas beliau;
Bermula tahun ini, kementerian akan menambah bilangan sekolah K9 antaranya termasuklah SK RPS Betau di Kuala Lipis, Pahang; SK Pos Kemar Geri, Perak; SK Bukit Kemandol Kuala Langat, Selangor dan SK Seri Sedohok Kluang, Johor.
Malah, penubuhan sekolah K9 akan diperluas ke Sarawak selepas sekolah pertama diperkenalkan di SK Long Bedian dan dicadangkan di kawasan Belaga seperti SK Long Lamin, SK Lusong Laku dan SK Long Jekitan.
Di Sabah pula akan melibatkan SK Pensiangan, Nabawan; SK Bawang, Beluran; SK Sabur, Kudat; dan SK Buis serta SK Menanam di Tongod.
“Ada sembilan buah sekolah kebangsaan yang dicadang dijadikan sekolah K9 menjelang tahun 2015 nanti,’’ katanya.
Mazlan memberitahu, melalui usaha K9 ini, pelbagai masalah yang timbul dapat diatasi seperti isu keciciran pelajar, kehadiran ke sekolah lebih konsisten, meningkatkan pencapaian prestasi akademik, kebajikan keselamatan murid dan mengusai kemahiran asas vokasional.
Beliau juga menegaskan, usaha pembangunan pendidikan khususnya di Sabah dan Sarawak sentiasa dipertingkat serta menangani masalah yang timbul dalam usaha menyediakan kemudahan pembelajaran lebih baik untuk masyarakat di sana.
Tujuh Inisiatif Transformasi Pendidikan Orang Asli
* Pemantapan tadbir urus sekolah-sekolah yang mempunyai murid Orang Asli;
* Memasukkan elemen Pendidikan Asas Vokasional di peringkat menengah rendah di semua sekolah menengah harian yang menjadi tumpuan masyarakat Orang Asli;
* Mengurangkan kadar keciciran murid Orang Asli ke sekolah sebanyak enam peratus setahun mulai 2014;
* Pengambilan pelajar bagi Program Khas Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Pahang yang akan ditingkatkan mengikut keperluan semasa;
* Penambahbaikan kemudahan infrastruktur dan prasarana pendidikan Orang Asli;
* Memperkasa jalinan kerjasama melalui pewujudan hubungan yang lebih strategik dengan rakan sinergi, rakan di lapangan serta rakan antarabangsa; dan
* Mewujudkan satu Sistem Pengesanan Prestasi Sekolah dan murid Orang Asli.


Sumber - Utusan Melayu (M) Bhd