Selasa, 29 Januari 2013

Proses agih RM100 selesai akhir bulan


KUALA TERENGGANU 27 Jan. - Proses agihan Bantuan Persekolahan RM100 kepada kesemua 246,922 pelajar sekolah menengah dan rendah di seluruh negeri ini yang bermula 15 Januari lalu dijangka selesai sepenuhnya akhir bulan ini.
Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Zakaria Hussin berkata, pihaknya yakin ia dapat diselesaikan dalam tempoh itu iaitu lebih awal daripada jadual asal 15 Februari depan.

Menurutnya, daripada kesemua jumlah pelajar berkenaan, 135,005 adalah murid sekolah rendah manakala bakinya iaitu 111,917 pelajar sekolah menengah di seluruh Terengganu.
Menurut beliau, pihaknya menyerahkan kepada setiap Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) untuk memastikan kelancaran proses penyerahan bantuan itu kepada pelajar di daerah masing-masing.
"Penyerahan ini (bantuan khas RM100) mula dilakukan pada 15 Januari lalu dan kita jangka semua pelajar sekolah menengah dan rendah di negeri ini akan menerima wang bantuan tersebut penghujung bulan ini.
"Kita serahkan kepada PPD untuk selaraskan penyerahan bantuan khas ini sama ada di peringkat Parlimen atau DUN (Dewan Undangan Negeri)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zakaria berkata, proses penyerahan bantuan RM100 itu juga dillangsungkan di sekolah-sekolah terpilih sama ada secara gabungan atau pun sendiri-sendiri.

Sumber - Utusan Melayu (M) Bhd