Ahad, 6 Januari 2013

DILEMA GURU SEKOLAH MENENGAH AGAMA NEGERI TERENGGANU

Utusan Malaysia bertarikh 27 September 2012 –

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Guru Dilema, Terengganu”  dalam ruangan Surat Kepada Pengarang akhbar Utusan Malaysia  bertarikh 27 September 2012Dilema guru Sekolah Menengah Agama  negeri Terengganu.

Merujuk kepada kenyataan pengadu berkaitan diberi jaminan tidak akan ditukarkan tanpa persetujuan, dimaklumkan berdasarkan kepada memorandum persefahaman  (MoU) yang ditandatangani, KPM bersetuju menerima semua guru dan Anggota Kumpulan Sokongan (AKS) yang sedang berkhidmat di sekolah walaupun bilangannya adalah melebihi perjawatan yang disediakan. Dalam MoU berkenaan, persetujuan antara KPM dengan guru perlu diperolehi lebih awal hanya untuk pertukaran antara negeri  sahaja. Sehubungan itu, setelah mengambil kira keperluan perjawatan di setiap sekolah, pergerakan guru (redeployment) perlu dilaksanakan bagi memastikan operasi di sekolah dapat berjalan dengan lancar dan matapelajaran diajar oleh guru mengikut opsyen. Contohnya terdapat keperluan guru bagi matapelajaran akademik selain daripada matapelajaran agama dan atas dasar tersebut, guru berkenaan perlu ditempatkan di sekolah-sekolah yang sangat memerlukan khidmat beliau. Pengisian ini juga bagi memastikan prestasi akademik di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) adalah seiring dengan arus perdana.

Merujuk kepada kenyataan pengadu berkaitan pelarasan gaji dan kenaikan pangkat yang dijanjikan, dimaklumkan bagi urusan pelarasan gaji yang masih tertunggak, Bahagian Pendidikan Islam (BP)I telah mengambil langkah dengan mengadakan Task-Force Kew-8 bagi Negeri Terengganu bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Marang pada 10 hingga 13 September 2012 yang lalu. Kesemua pembantu tadbir SABK Terengganu terlibat sepanjang task-force ini berlangsung dan hampir 60% kes-kes tertunggak telah berjaya diselesaikan. Program task-force ini dilihat sebagai platform pembelajaran dan penambahbaikan secara terus di antara BPI dan pembantu tadbir sekolah SABK dalam mengenalpasti kesilapan yang sering dilakukan dan perlu ditambah baik.
Manakala bagi urusan kenaikan pangkat, ianya tertakluk kepada prosedur dan pekeliling sedia ada yang sedang berkuatkuasa. Sehubungan dengan itu, semua guru akan mendapat peluang yang sama rata untuk kenaikan pangkat.

Merujuk kepada kenyataan pengadu berkaitan pihak sekolah terpaksa mengikut program yang dianjurkan oleh JPN dan PPD, dimaklumkan peluang sebegini seharusnya dilihat secara positif dalam meningkatkan jati diri, prestasi profesionalisme keguruan dan kerjaya untuk terus maju pada masa akan datang. Tanggungjawab ini merupakan amanah sebagai seorang pendidik untuk menjana modal insan yang seimbang dan bukannya sebagai bebanan dalam tugasan harian.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Sumber - Portal Rasmi KPM