Rabu, 16 Januari 2013

Pendidikan Orang Asli janji ditepati


Sekiranya anda beranggapan taraf kehidupan kaum pribumi atau Orang Asli di negara ini masih mundur seperti lima atau 10 tahun lalu dan tiada kemajuan maka anda wajar membetulkan persepsi tersebut dengan melihat sendiri perubahan yang sedang berlaku dalam kalangan golongan itu hari ini.
Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran sejak sedekad lalu sentiasa menetapkan komitmen mahu merapatkan jurang pendidikan, tahap sosioekonomi dan keupayaan murid Orang Asli agar golongan itu mempunyai peluang dan keupayaan sama iaitu untuk cemerlang sama ada mereka tinggal di bandar, luar bandar atau pedalaman.
Selaras dengan itu, diperkenalkan Pelan Transformasi Pendidikan Orang Asli (PTPOA) yang menetapkan pencapaian golongan terbabit dalam tempoh lima tahun dari 2013 hingga 2017 dengan menekankan objektif memperkasa kemajuan Orang Asli seiring dengan kemajuan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Namun, tanpa perlu menunggu masa lima tahun itu, sebahagian daripada rancangan tersebut berjaya dicapai dan pencapaian tersebut dibuktikan oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Tasik Chini pada keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lalu.


Buat pertama kalinya, sekolah di Pahang itu mencipta sejarahnya tersendiri apabila murid perempuan Melayu yang baharu berpindah ke SK Tasik Chini dari sekolah kebangsaan berhampiran mencapai keputusan 5A manakala rakannya murid Orang Asli Jakun mendapat 4A 1B.
Keputusan itu melonjakkan nama SK Tasik Chini di peringkat kebangsaan untuk muncul sebagai sekolah Orang Asli paling cemerlang dengan menduduki tangga ke-120 daripada keseluruhan 430 sekolah Orang Asli dan sekolah kebangsaan yang terdapat di Pahang.
Dari segi kedudukan di peringkat kebangsaan, pada tahun 2011, SK Tasik Chini menduduki `BAND 2’ (tahap pencapaian pendidikan dan pengurusan sekolah terbaik kementerian) iaitu menduduki tempat ke-987 daripada keseluruhan 7,674 buah sekolah rendah di seluruh negara.
Berbanding kedudukannya sebelum ini, pada tahun 2010 SK Tasik Chini berada pada `BAND 4’ iaitu tempat ke-5,841 dan `BAND 5’ iaitu tempat ke-6,906 pada tahun 2009.
Pencapaian UPSR SK Tasik Chini sepanjang lima tahun lalu didapati meningkat dengan cemerlang bermula pada tahun 2008 lalu seramai 12 murid sekolah itu menduduki UPSR dan hanya empat murid yang lulus peperiksaan tersebut.
Bilangan calon yang mengambil peperiksaan itu bagaimanapun menurun tahun 2009 dengan hanya lima calon dan empat daripadanya gagal, tahun berikutnya, jumlah kembali bertambah kepada 12 orang manakala dua murid gagal.
Tahun 2011, pencapaian SK Tasik Chini mula menampakkan perubahan lebih baik apabila kesemua enam calon sekolah itu lulus UPSR sekali gus menjadikan keputusan UPSR 100 peratus dicapai di sekolah tersebut.
Jika dilihat dari segi peratus kehadiran murid Orang Asli Sk Tasik Chini sepanjang lima tahun itu, bilangan kehadiran murid terus meningkat daripada 98 murid pada tahun 2008, meningkat kepada 112 murid dan yang terbaru seramai 108 murid.
Menurut Guru Besar sekolah itu yang juga berketurunan Orang Asli Jakun, Akit Huat, 54, pencapaian tersebut bukan diperoleh dengan mudah terutama untuk mengubah minda dan pemikiran kaumnya agar menerima kepentingan pendidikan bagi mengubah masa depan mereka ke tahap lebih baik.
Katanya, keputusan 100 peratus yang dicapai murid sekolah itu pada UPSR bermula 2011 membuktikan kaum Orang Asli boleh berjaya dengan lebih cemerlang sekiranya golongan ini diberi peluang dan bimbingan sewajarnya.
Menurut beliau, pihaknya mempunyai `senjata’ khas yang dipraktikkan bagi meningkatkan pencapaian akademik sekolah itu antaranya termasuklah mengerakkan 13 program UPSR tahun lalu termasuk tiga program khas bagi meningkatkan kehadiran murid Orang Asli ke sekolah di bawah Jejak Warisan iaitu Jom Ke Sekolah, Ops Ponteng dan Mengesan Jejak.
“Di bawah program UPSR iaitu Biar Putih Tulang, kita menyediakan kelas tambahan bagi mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu termasuk program mentor mentee antara guru serta murid.
“Kelas tambahan juga digerakkan sepanjang cuti umum Tahun Baru Cina lalu melalui program Seiring Sejalan, kem motivasi Fikirkan Boleh, kelas malam dan bengkel menjawab soalan serta Kau Ilhamku melibatkan penyertaan ibu bapa murid Orang Asli,’’ katanya ketika ditemui di SK Tasik Chini baru-baru ini.
Selain itu katanya, program `Bawalah Daku Bersamamu’ memfokuskan murid kurang berkemampuan dan lemah penguasaan mata pelajaran tertentu yang tinggal di pulau-pulau kecil berhampiran Tasik Chini.
“Mereka ini akan dibawa tinggal d rumah guru atau mentor mereka pada Isnin hingga Jumaat dan dibenarkan pulang ke rumah ibu bapa masing-masing pada Sabtu dan Ahad. Ibu bapa dilihat tiada halangan dan memberikan kerjasama penuh kepada sekolah,’ katanya.

Sumber - Utusan Melayu (M) Bhd