Ahad, 25 Mac 2012

Terengganu terus unggul

KUALA TERENGGANU 21 Mac - Terengganu meneruskan kecemerlangannya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang diumumkan hari ini dengan mencatatkan peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) kepada 4.92 berbanding 5.03 tahun 2010 sekali gus mengatasi Gred Purata Nasional (GPN) 5.04.
Pencapaian itu turut menyaksikan rekod pencapaian terbaik dalam tempoh empat tahun seperti pencapaian dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011.
Prestasi keseluruhan calon menunjukkan peningkatan di segi GPN selain pencapaian keputusan Gred Cemerlang iaitu A+, A dan A- serta minimum C berbanding pencapaian tahun 2010.
Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu, Hashim Mohd. Zin berkata, seramai 15 pelajar berjaya memperoleh A dalam semua mata pelajaran apabila tiga daripada mereka mendapat 11 A + diikuti 10A+ (dua orang) manakala 10 pelajar memperoleh 9A+.
Tiga pelajar yang mendapat 11A+ itu ialah Fatin Amalia Ibrahim dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Siti Nur Afiqah Mohamad Rasid (SM Imtiaz Dungun) dan Fatin Hamimi Abdullah (SMKA Nurul Ittifaq).
Dua pelajar yang memperoleh 10A+ ialah Muhammad Nabil Aiman Hasbullah (SMK Tengku Ampuan Intan) dan Jason Tan Wei Keat (SMK Sultan Sulaiman).
Mereka yang mendapat 9A+ pula ialah Che Ku Hariz Che Ku Amran (SMK Sultan Sulaiman), Ahmad Adham Azmi @ Adon (SM Sains Sultan Mahmud), Ahmad Asyraf 'Azilah (SM Sains Sultan Mahmud), Wan Muhammad Najmie Wan Sabri (SM Sains Kuala Terengganu).
Lain-lain ialah Wan Noorfatin Wan Mohd. Zani (SMK Chukai), Ahmad Faez Azmi (SMK Tengku Mahmud), Muhammad Asyraf Hafizuddin Azahar (SMK Tengku Mahmud), Najwa Aleena Sharif (SMK Tengku Mahmud), Nur Hanin Zainal Abidin (SMK Tengku Mahmud) dan Ong Cher Wei (SMK Sultan Sulaiman).
Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini, Mohd. Hashim berkata, lapan buah sekolah mencapai keputusan cemerlang dalam SPM kali ini dengan memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) 2.25 ke bawah.
Sekolah-sekolah itu ialah SM Sains Sultan Mahmud, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Batu Rakit, SM Imtiaz Dungun, SM Sains Kuala Terengganu, SMA Atas Sultan Zainal Abidin, SMKA Sheikh Abdul Malek, SMK Tengku Mahmud dan SM Imtiaz Kuala Berang.
Menurut beliau, pencapaian memberangsangkan ini adalah hasil usaha semua pihak untuk melestarikan pendidikan terbilang di negeri ini dan ia dibuktikan dengan peningkatan dalam GPN, Gred Cemerlang Tertinggi dan minimum C.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi pencapaian GPN, keputusan SPM 2011 mencapai gred lebih baik iaitu 4.92 berbanding 5.03 (2010), 5.17 (2009) dan 5.38 (2008).
Pada tahun lalu, seramai 22,702 calon menduduki SPM yang membabitkan 180 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu

Sumber - Utusan Malaysia Online