Isnin, 12 Mac 2012

Jangan Salah Guna E-book Untuk Kegunaan Peribadi - Ahmad Said


DUNGUN, 9 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said meminta ibu bapa agar tidak menyalah guna komputer riba yang dibekal kerajaan negeri menerusi projek pemberian e-book untuk kegunaan anak mereka.
Ahmad berkata beliau menerima maklumat bahawa ada di kalangan ibu bapa yang bertindak seolah-olah komputer riba itu kepunyaan mereka sedangkan ia diberi untuk kegunaan murid membuat tugasan dengan lebih mudah di sekolah.
"Tahun lepas, saya mendapat tahu ada sebuah komputer riba yang rosak akibat dilempar oleh seorang bapa yang berang akibat keghairahan isterinya melayari internet menggunakan komputer riba anak sehingga larut malam.
"Kes ini berlaku di Hulu Terengganu. Ia tidak sepatutnya berlaku kerana komputer riba itu adalah milik anak untuk pelajaran, bukannya milik ibu bapa untuk tujuan lain," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan e-book untuk murid-murid sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura di sini.
Sebanyak 465 unit komputer riba jenama 'Top IT' diserah kepada murid di lima sekolah dalam DUN itu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Omar, SK Pusat Dungun, SK Kuala Dungun, SK Bandar Dungun dan SJK Cina Kwang Hwa.

-- BERNAMA