Isnin, 12 Mac 2012

Ahmad Said Gembira Prestasi STPM Terengganu Atasi Peringkat Pusat

KUALA TERENGGANU, 7 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said Rabu meluahkan rasa gembira kerana prestasi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) negeri itu mengatasi peringkat pusat.
Terengganu mencatatkan pencapaian 95.34 peratus berbanding peringkat pusat 93.96 peratus, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco, di sini.
Beliau berkata daripada 2,810 calon yang menduduki STPM tahun lepas, 2,679 mendapat lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.
Ini merupakan peningkatan 0.65 peratus berbanding tahun sebelumnya, kata Ahmad yang berharap Terengganu dapat mengekalkan kedudukan sebagai negeri terbaik STPM bagi empat tahun berturut-turut.
"Saya ucapkan tahniah kepada anak-anak Terengganu serta mereka yang terlibat di mana sekali lagi menunjukkan kecemerlangan Terengganu dalam peperiksaan itu," katanya.

-- BERNAMA