Rabu, 7 Mac 2012

Gagasan Terengganu dilancar

KUALA TERENGGANU 3 Mac - Pertubuhan Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) dilancar secara rasmi di negeri ini hari ini.
Pelancarannya disempurnakan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah sambil disaksikan oleh Pengerusi Gagasan negeri, Datuk Nasir Ibrahim Fikri.
Hadir sama Setiausaha Agung pertubuhan itu, Syed Anuar Syed Idrus.
Pada majlis itu, Jailani turut menyampaikan watikah pelantikan kepada beberapa Yang Dipertua Gagasan peringkat Parlimen, termasuklah Parlimen Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu.
Terdahulu, satu ceramah khas bertajuk Guru Pewaris Anbia disampaikan oleh Pengarah Institut Sosial Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din.
Gagasan adalah kesinambungan daripada cetusan idea bekas pemimpin Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang diketuai Datuk Hasan Malek iaitu Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersama beberapa bekas pemimpin lain.
Ia ditubuhkan setelah berkuatkuasanya Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 yang mengehadkan penglibatan badan-badan belia dan pergerakan pertubuhan berorientasikan pendidikan seperti GPMS yang hanya terbuka kepada pemimpin berusia bawah 40 tahun.