Khamis, 1 Mac 2012

NASIB GURU BUKAN SISWAZAH BELUM DAPAT PEMBELAAN



Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Guru Lama, Machang” dalam ruangan Surat Kepada Pengarang akhbar Berita Harian bertarikh 23 Februari 2012Nasib guru bukan siswazah belum dapat pembelaan.
 
Untuk makluman, jawatan Guru Besar dan Penolong Kanan merupakan jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) Gred DGA34/DGA32 dan bukannnya jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41. Pada masa kini, masih belum wujud jawatan Guru Besar dan Penolong Kanan, PPPS Gred DG41.
 
Walau bagaimanapun, Guru Besar dan Penolong Kanan di sekolah rendah yang melanjutkan pelajaran secara Pengajian Jarak Jauh (PJJ) dan dilantik ke Gred DG41 dikekalkan sebagai Guru Besar dan Penolong Kanan di sekolah asal mereka bagi memastikan kepimpinan yang berterusan dan supaya tidak menjejaskan pengurusan dan pentadbiran sekolah rendah.
 
Jika ruang ini dibuka kepada Guru Biasa, PPPS Gred DG41, maka ia akan menyekat peluang kenaikan pangkat kepada sebilangan baki Guru Biasa, PPPLD Gred DGA29 yang dalam senarai menunggu kenaikan pangkat ke Gred DGA32/DGA34.
 
Di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM), walaupun PPPS tidak berpeluang untuk memegang jawatan kenaikan pangkat di sekolah rendah, mereka masih boleh menikmati peluang kenaikan pangkat  melalui laluan Hakiki, Laluan Cemerlang dan Laluan Time-Based  di dalam skim perkhidmatan PPPS sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan diluluskan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan (LKPPP).
 
Berdasarkan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), PPP Gred DG1-1 (DG41) boleh dinaikkan pangkat ke gred yang lebih tinggi tanpa kekosongan jawatan berdasarkan kecemerlangan dengan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh LKPPP mengikut tempoh minimum perkhidmatan yang ditetapkan seperti berikut:
 
 
i)                    DG1-1 ke DG1-2 ( tempoh 8 tahun)
ii)                   DG1-2 ke DG1-4 ( tempoh 8 tahun)
iii)                 DG1-4 ke DG1-5 ( tempoh 6 tahun)
iv)                 DG1-5 ke DG1-6 ( tempoh 3 tahun)
 
Sehubungan dengan itu, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang bersetuju menerima opsyen SBPA adalah layak dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat secara Time-Based beserta Kecemerlangan. Walau bagimanapun, Kerajaan masih di peringkat semakan semula SBPA dan ketetapan kriteria-kriteria kenaikan pangkat SBPA juga sedang dibangunkan oleh Agensi Pusat. Oleh yang demikian, pelaksanaan urusan kenaikan pangkat PPP terlibat hanya dapat dijalankan setelah kriteria-kriteria kenaikan pangkat diluluskan dan dipersetujui oleh LKPPP.
 
 
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
 
Sumber - Kementerian Pelajaran Malaysia