Isnin, 12 Mac 2012

SMK Putra terbaik Terengganu

BESUT 8 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra di sini muncul sekolah terbaik di negeri ini dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 berasaskan Gred Purata Sekolah (GPS).
Terletak kira-kira sembilan kilometer dari pekan Jerteh, SMK Putra melakar satu lagi sejarah pencapaian cemerlangnya dengan GPS 2.91, mendahului senarai sembilan sekolah yang grednya melebihi 2.60.
Kejayaan itu memperlihatkan SMK Putra, sebuah sekolah di kawasan luar bandar mampu bersaing dengan sekolah ternama lain di negeri ini.
Pengetuanya, Ruhani Salleh berkata, sebelum ini sekolah itu pernah mencatat sejarah apabila seorang pelajarnya muncul pelajar terbaik dalam peperiksaan STPM 2010.
Katanya, kesungguhan guru, pentadbiran dan sokongan kuat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta keyakinan ibu bapa terhadap corak pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu telah membantu ke arah kejayaan.
Menurutnya, dalam peperiksaan STPM tahun lalu, 45 pelajar menduduki peperiksaan berkenaan dan kesemuanya menunjukkan prestasi cemerlang.
"Kejayaan muncul sebagai sekolah terbaik mendorong kami untuk mempertahankan kedudukannya dalam peperiksaan yang sama tahun ini," katanya selepas meraikan kejayaan bersama pelajar sekolah itu semalam.
Sementara itu empat lagi sekolah di daerah ini turut memperlihatkan pencapaian cemerlang daripada segi GPS iaitu SMK Tengku Mahmud (tangga keempat), SMK Nasiruddin Shah (enam), SM (Agama) Maarif (tujuh) dan SMKA Nurul Ittifaq (sembilan).

Sumber - Utusan Malaysia Online