Isnin, 6 Februari 2012

Tahniah Pasukan Perarakan JPN Terengganu


Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang diadakan di Stadium Negeri, Kuala Terengganu disambut meriah dengan mencatat rekod penyertaan luar biasa lebih 20,000 umat Islam dari seluruh negeri.
Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan acara perarakan yang dimulakan seawal pukul 8 pagi melibatkan 794 organisasi. Kesemua mereka terdiri daripada 288 kontinjen mewakili Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), syarikat swasta (12), pasukan beruniform (6), sekolah dan institusi pengajian tinggi (40), jabatan kerajaan persekutuan (28) dan jabatan kerajaan negeri (23). Turut serta, badan bukan kerajaan (NGO) dan tadika kanak-kanak seramai 397 kontinjen.
Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu juga turut diwakili 40 orang peserta terdiri daripada pegawai, kakitangan dan guru-guru agama sekolah sekitar Kuala Terengganu. Perarakan sejauh kira-kira dua kilometer itu bermula dari Dataran Shahbandar ke perkarangan Stadium Negeri yang diketuai oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Turut menyertai perarakan ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB. Haji Khazan Che Mat; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan barisan Exco kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan.
Bagi pertandingan perarakan, kategori Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan  dimenangi oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu manakala Yayasan Islam Terengganu memenagi Kategori Jabatan Kerajaan Negeri dan Badan Berkanun Negeri, Kategori Sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin).