Selasa, 7 Februari 2012

Dasar 60-40 Sains-Sastera pandangan guru perlu diambil


PENDEDAHAN bahawa hanya 29 peratus pelajar menuntut dalam aliran sains di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam tempatan menyedarkan kita masih jauh untuk mencapai sasaran Dasar 60-40 iaitu 60 peratus pelajar aliran sains dan 40 peratus pelajar aliran sastera.
Keadaan ini boleh menjejaskan matlamat Pelan Haja Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi dan usaha mencapai status negara maju menjelang 2020. Usaha berkesan perlu dilakukan untuk meningkatkan minat pelajar dalam aliran sains seperti galakan daripada ibu bapa dan keluarga, kualiti pengajaran guru, keberkesanan pengurusan sekolah, kemudahan prasarana, aktiviti kokurikulum akademik berasaskan sains, pengaruh rakan sebaya, peruntukan kewangan dan pelbagai insentif. Memang benar jika minat sudah meningkat maka mata pelajaran Sains tidaklah dianggap sukar.
Namun minat sahaja tidak cukup jika tidak disertai dengan disiplin belajar yang tinggi. Faktor paling penting ialah wujudnya kesedaran dalam diri individu pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh. Budaya kesungguhan belajar bermaksud amalan belajar dengan gigih, tekun, memberi tumpuan sepenuhnya dalam kelas, menghormati dan bertanya guru tentang pelajaran, mengulang kaji pelajaran dan membuat latihan tambahan di rumah, mempunyai jadual belajar dan kerap berbincang dengan rakan tentang pelajaran. Nilai belajar sedemikianlah yang selalu disebut calon cemerlang semasa ditemu bual pemberita sejurus menerima keputusan peperiksaan.
Dalam sistem pendidikan kita penentuan jurusan bermula di Tingkatan 4. Biasanya pelajar yang mendapat gred A atau B mata pelajaran Sains dan Matematik pada Penilaian Menengah Rendah (PMR) dijadikan ukuran kelayakan ke aliran sains.
Pelajar yang memperoleh lebih rendah daripada gred B dalam kedua mata pelajaran tersebut menghadapi kesukaran mengikuti pelajaran khususnya subjek Sains Tulen jika dipilih ke jurusan sains. Ini disebabkan penguasaan kemahiran dalam huraian sukatan pelajaran subjek tersebut agak lemah dan akibatnya mereka tidak berkemampuan mengikuti pelajaran di peringkat menengah atas yang memerlukan tahap kemahiran lebih tinggi. Kita perlu meningkatkan bilangan pelajar yang memperolehi sekurang-kurangnya gred B Sains dan Matematik dalam PMR. Sungguhpun kita ada sekolah berasrama penuh yang menjurus kepada aliran sains, sekolah ini dilihat sebagai tempat dalam proses mengumpulkan pelajar yang sudah cemerlang dari sekolah harian supaya kecemerlangan mereka dapat dimantapkan.
Untuk memenuhi kuota 60 peratus pelajar aliran sains kita perlu melihat bagaimana majoriti pelajar berprestasi sederhana di sekolah harian dapat ditingkatkan pencapaian mereka khususnya di peringkat menengah rendah. Program yang berkesan termasuk peruntukan dan insentif perlu dijurus ke arah kumpulan sasar pelajar berprestasi sederhana di sekolah harian. Pada 30 Januari lalu 15 buah sekolah diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) menjadikan jumlahnya 182. Kemudian pada 3 Februari 14 lagi sekolah dianugerah sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) menjadikan jumlahnya 66. Kita perlu merancang bagaimana penjenamaan SKK dan SBT dapat dijadikan pemangkin yang lebih berkesan dalam membantu mencapai matlamat Dasar 60-40. Elok juga jika difikirkan suatu bentuk penganugerahan untuk mengiktiraf sekolah yang berjaya meningkatkan pencapaian kumpulan pelajar berprestasi sederhana ke suatu tahap tertentu khususnya di peringkat PMR.
Dalam usaha mendapatkan maklum balas pelbagai pihak untuk merealisasikan Dasar 60-40, maka pandangan daripada guru amat penting.

HJ MOHD. ZIN MARKAM
Pontian

Sumber - Forum, Utusan Malaysia (6 Februari 2012)