Isnin, 13 Februari 2012

Sekolah cemerlang Terengganu dirai

KUALA TERENGGANU 9 Feb.– Sekolah-sekolah di negeri ini yang mencatatkan kejayaan membanggakan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 diraikan oleh kerajaan negeri semalam.
Majlis Anugerah Apresiasi Kecemerlangan itu merupakan sebahagian daripada tradisi penghargaan kepada warga sekolah untuk terus mempertahan dan meningkatkan pencapaian dalam pelbagai peringkat peperiksaan awam.
Ia juga merupakan sebahagian daripada komitmen yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri dengan aspek pendidikan menjadi keutamaan dalam usaha membangunkan kehidupan rakyat dan memajukan negeri.
Beberapa buah sekolah menerima penghargaan atas kejayaan yang ditempa antaranya bagi kategori sekolah enrolmen calon kurang daripada 100 peratus semua A terbaik UPSR.
Berada dalam turutan senarai ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bharu Tok Dor (66.67 peratus), SK Kampung Bukit Hulu Nerus (55.56 peratus) dan SK Kampung Cabang (51.22 peratus) yang masing-masing menerima RM5,000; RM3,500; RM2,500 beserta piala dan sijil penghargaan.
Bagi kategori Gred Purata Sekolah terbaik, ia dimenangi oleh SK Dusun, Hulu Terengganu (1.23) dengan hadiah wang tunai RM3,000.
Kategori sekolah enrolmen calon lebih daripada 100 peratus semua A terbaik UPSR disandang oleh SK Tengku Mahmud (51.18 peratus), SK Kampung Raja (39.44 peratus), SK Sultan Sulaiman 1 (34.12 peratus) dan GPS terbaik diperoleh oleh SK Tengku Mahmud, Besut.
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Hwa, Dungun mula dinobatkan SJKC cemerlang (Semua A 7.84 peratus dan GPS 2.02) dengan hadiah wang tunai RM2,500.
Daerah Besut pula dipilih daerah terbaik semua A dalam UPSR dengan hadiah RM7,000 manakala setiap sekolah membawa pulang RM5,000, RM3,500 dan beserta piala serta sijil penghargaan.
Bagi kategori peratusan semua A terbaik PMR mengikut kategori sekolah, lima buah sekolah yang berada pada tahap itu dengan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud mendahului senarai (Sekolah Berasrama Penuh).
Ia diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud, Besut (Premier/ Kawalan), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek (SMKA).
Juga SMK Rantau Petronas (Harian) dan Sekolah Menengah Agama Khairiah (Sekolah Agama Bantuan Kerajaan) dengan kesemua sekolah membawa pulang RM5,000, piala serta sijil penghargaan manakala Kuala Terengganu muncul daerah terbaik semua A.
Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam majlis yang diadakan serentak dengan pelancaran Program Pendidikan Anjung Ilmu (PPAI) 2012 di Wisma Darul Iman di sini.

Sumber - Utusan Malaysia Online