Khamis, 16 Februari 2012

Gadis 'istimewa' sambung persekolahan


BESUT 15 Feb. - Noraini Ismail, gadis berusia 17 tahun yang didakwa mampu bertutur dalam bahasa Korea, Mandarin, Hokkien dan beberapa bahasa lain setelah terlibat dalam kemalangan lebih sebulan lalu menyambung semula persekolahannya semalam.
Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah itu bagaimanapun kelihatan ceria ketika dikelilingi rakan-rakan sekelas dan gurunya meskipun lebih sebulan tidak bersekolah.
Dalam kejadian 10 Januari lalu, Noraini yang terlibat dalam kemalangan ketika pulang dari sekolah ketika membonceng motosikal abangnya, Jefri Ismail, 18 telah pengsan selama 11 jam walaupun hanya mengalami luka-luka kecil di bahagian kaki.
Selepas menjalani imbasan sinar-X, keluarga Noraini dimaklumkan bahawa terdapat segumpal darah beku di kepala gadis itu dan selang tiga hari selepas itu, doktor pula mengesahkan darah beku itu sudah hilang dan dia dibenarkan pulang.
Setelah menerima rawatan dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan berlaku keganjilan apabila dia tiba-tiba tidak boleh bercakap.
Setelah dirujuk semula dan menjalani terapi, Noraini akhirnya dapat bercakap semula tetapi apa yang memeranjatkan keluarganya ialah apabila gadis itu tiba-tiba mampu bertutur dalam bahasa Korea, Mandarin dan beberapa bahasa lain.
Ketika sekumpulan media hadir bersama pemangku Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Besut, Ab. Halim Hasan ke sekolah itu hari ini, Noraini bersama 20 rakannya sedang mengikuti mata pelajaran Sejarah yang diajar oleh Norhazimah Hamzah.
Ab. Halim ketika ditemui berkata, pihaknya berharap pelajar itu dapat meneruskan pelajaran sehingga selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya, pihak sekolah juga diharap dapat mengawasi perkembangan pelajar itu menerusi Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM).
"Di pihak PPD, kita juga telah menyediakan seorang pegawai bagi memantau perkembangan Noraini ini yang dianggap istimewa," jelasnya.
Sementara itu, Noraini ketika ditemui berkata, dia gembira dapat belajar semula dan bertemu rakan-rakan dan guru yang banyak membantunya untuk menghadapi keadaan itu.

Sumber - Berita Harian online