Isnin, 13 Februari 2012

Pelajar sains di persimpangan?

SAYA terpanggil untuk memberikan komen berhubung isu mengenai peratusan kekurangan pelajar sains yang semakin amat kritikal ini. Sebenarnya isu ini telah lama berlaku cuma sekarang menjadi semakin teruk dan perlu ditangani segera oleh kerajaan.
Perlu ditegaskan jika kita ingin menuju negara yang maju dan dihormati ia mestilah mempunyai tenaga manusia atau rakyatnya yang berpendidikan sains dan teknologi secara menyeluruh. Sebenarnya kita kena lihat dari pelbagai aspek untuk mencari sebab dan puncanya.
Punca yang sering kita berikan ialah kerana bidang atau jurusan sains ini cukup susah dan mencabar kepada pelajar, baik semasa di peringkat sekolah mahupun di peringkat universiti.
Namun statistik tersebut perlu tepat, sama ada bidang yang dimaksudkan untuk sains tulen atau sains gunaan. Pelajar kurang berminat adalah bidang sains tulen berbanding sains gunaan.
Bidang sains gunaan seperti sains kesihatan dan kejuruteraan memang tiada masalah kerana bidang ini cukup diminati dan mendapat permintaan tinggi daripada pelajar aliran sains atau teknik.
Bidang-bidang sains tulen seperti matematik, fizik, kimia dan biologi memang semakin kurang diminati disebabkan peluang tawaran di pasaran kerja begitu kurang sedangkan pelajarannya sukar.
Kerana itu ada pelajar lulusan sains tulen ini akan mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Institut Perguruan Guru (IPG) selama setahun untuk bertukar menjadi seorang guru, bukan mempraktikkan dirinya sebagai seorang pegawai sains, penyelidik atau saintis. Ini pun satu masalah dan memberi kesan kepada kekurangan pegawai sains tulen dalam industri sains negara.
Kita lihat seolah-olah pelajar jurusan sains berada dalam persimpangan dan dilema. Kerana itu hanya mereka yang cukup minat dan cintakan jurusan ini akan pasti memilih kursus perubatan, farmasi dan kejuruteraan sebagai kursus yang paling popular.
Mereka inilah pelajar yang biasanya cukup cemerlang dan dianggap berani untuk memilih kursus yang lebih mencabar, sukar dan lebih mahal kosnya.
Jika lulus, mereka akan menjadi seorang doktor atau jurutera yang dianggap lebih berprestij dan hebat di mata masyarakat. Ramai juga yang gagal dan bertukar kursus.
Terbukti mereka memang pintar kerana mampu lulus cemerlang dalam kursus lain sekalipun pelajar itu gagal dalam sains sebelumnya. Lagi pun kedua-dua bidang ini bertaraf lebih profesional daripada jurusan sains tulen tadi.
Kerana itu saya ingin bertanya bidang sains mana yang dimaksudkan menjadi kritikal kepada negara? Hakikatnya pelajar ini masih ramai belajar bidang sains ketika di peringkat sekolah tetapi mula mengurang atau bertukar haluan bila belajar di universiti.
Ini masalah yang berbangkit dan perlu ditangani oleh kerajaan. Lihat sahaja iklan akhbar dan beberapa pameran kerjaya. Kebanyakan jawatan kosong lebih kepada bidang kejuruteraan, perakaunan, perniagaan, pemasaran dan perubatan. Jarang yang hendakkan mereka daripada aliran sains tulen.
Bagi saya selaku bekas pelajar aliran sains tulen dan kejuruteraan, saya rasa kerajaan perlu memberikan sesuatu yang lebih besar dan bermakna kepada pelajar sains ini. Sebagai contoh pelajar sains (tulen atau gunaan) patut diberikan kemudahan biasiswa yang lebih besar dan banyak dari pelajar jurusan lain.
Bagi yang ingin memohon pinjaman PTPTN pula kita harapkan agar mereka daripada jurusan sains diberikan lebih merit dan terutamanya tanpa mengira latar belakang keluarga mereka. Dengan ini pelajar akan lebih bersemangat dan suka untuk memilih bidang sains kerana adanya keistimewaan dan penghargaan seperti ini.

Sumber - Utusan Malaysia Online (Forum)