Rabu, 4 Julai 2012

Terengganu cari universiti alternatif elak risiko

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu sedang berusaha mencari beberapa universiti baru di luar negara berikutan banyak bencana dan risiko kepada pelajar berlaku di universiti terpilih sebelum ini termasuk di Mesir.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, terbaru, Universiti Hasanudin Makassar, Indonesia bersetuju menyediakan peluang kepada pelajar Terengganu melanjutkan pelajaran di sana.
“Persetujuan itu bakal disaksikan dalam majlis perjanjian dengan Kerajaan Negeri dalam masa terdekat, yang menawarkan program perubatan serta pergigian kepada pelajar dari negeri ini.
“Pihak universiti berkenaan dijangka datang ke sini Khamis ini untuk mengadakan sesi temu duga kepada 13 calon lepasan matrikulasi terpilih,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Perasmian Wisma Belia Permata Seberang Takir dan Karnival Euro 2012 Dewan Undangan Negeri (Dun) Seberang Takir di Dataran Permata, Kampung Baru di sini.
Menurutnya, kerajaan bercadang menghantar sekurang-kurangnya 50 pelajar ke universiti terbabit, tetapi setakat ini hanya ada 13 calon yang layak ditemu duga.
“Langkah ini diambil bagi memenuhi sasaran kerajaan untuk menghantar 150 orang anak Terengganu belajar di universiti luar negara, termasuk Jordan, Rusia dan Indonesia,” katanya.
Menurutnya, kerajaan juga sedang meninjau universiti lain seperti di Universiti Padjadjaran, Indonesia untuk mengadakan perjanjian setelah pihaknya datang membentangkan segala fasiliti yang ditawarkan di universiti itu.
Sementara itu, Ahmad Razif berkata, pihaknya mengambil keputusan memilih universiti di Indonesia kerana kosnya lebih rendah berbanding negara lain seperti yang berlaku kepada pelajar di Rusia.
“Kos pelajar di sana meningkat tinggi berikutan harga tempat penginapan dan sebagainya kini melambung, dan kita cuba memikirkan untuk mencari universiti lain,” katanya.

Sumber - Sinar Harian Online