Rabu, 11 Julai 2012


SUBANG 10 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyertai 3,660,580 murid serta guru dari 10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara melakukan senamrobik dalam program Senamrobik Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia.
Bertempat di Sekolah Wawasan USJ 15 bersama kira-kira 3,000 peserta di sini, Timbalan Perdana Menteri meluangkan kira-kira 45 minit melakukan senaman tersebut yang turut disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen tempatan bermula 7.55 pagi.
Program itu merupakan senamrobik terbesar yang dianjurkan di negara ini dan mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR).
Sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh Pengarah Urusan MBOR, Datuk Danny Ooi kepada Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud sambil disaksikan oleh Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.
Dalam pada itu Muhyiddin berkata, acara senamrobik itu selari dengan dasar 1Murid 1Sukan bagi mewajibkan setiap murid yang sihat mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan.
Menurutnya, budaya bersukan perlu dipupuk daripada peringkat sekolah sebagai alat perpaduan kerana ia terbukti telah menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Bidang sukan adalah gambaran sebenar kepada konsep 1Malaysia yang secara tidak langsung menaikkan semangat patriotisme dalam kalangan murid-murid," katanya.
Program hari ini merupakan kesinambungan kepada Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia yang dijayakan kementerian tersebut di Perak tahun lalu.

Sumber - Utusan Malaysia Online