Selasa, 3 Julai 2012

Pelajar mahu tikam guru

JERTIH – Seorang guru lelaki berada di ambang maut apabila seorang pelajarnya dikatakan mahu menikamnya dengan senjata tajam dalam surau sebuah sekolah di sini pada minggu lalu.
Dalam kejadian jam 1.40 petang itu, pelajar lelaki tingkatan lima di sebuah sekolah menengah di sini itu didakwa cuba menikam guru berumur 50-an di depan pelajar lain.
Bagaimanapun, tindakan pantas pelajar lain berjaya menghalang pelajar terbabit berbuat demikian.
Difahamkan, pelajar tersebut masuk ke dalam surau berkenaan ketika program tazkirah sedang berlangsung dengan bertindak mengeluarkan senjata tajam lalu mengacunya ke arah guru berkenaan, namun sempat dielak guru tersebut.
Pelajar itu didakwa bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan guru itu yang mengarahkannya keluar dari surau sebelum itu.
Arahan itu dibuat kerana pelajar itu dikatakan menimbulkan masalah ketika program tazkirah berlangsung.
Guru berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Jertih pada hari yang sama.
Pelajar itu yang menetap di sebuah kampung dekat Seberang Jertih dikatakan telah ditahan polis malam kelmarin di rumahnya pada jam 2.20 pagi. Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan tangkapan tersebut.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Beliau turut menasihatkan pelajar agar tidak bertindak mengikut emosi selain perlu memiliki perasaan rasa hormat kepada guru kerana sekiranya melakukan perbuatan jenayah, mereka bakal berdepan tindakan undang-undang.
Manakala warga pendidik pula diminta menggunakan pendekatan bersesuaian ketika menegur pelajar bermasalah bagi mengelak kejadian seumpama itu berlaku.

p.s Admin - Apa nak jadi dengan pelajar sekarang?

Sumber - Sinar Harian Online