Ahad, 3 Februari 2013

'Sekolah Kita' menceriakan kanak-kanak


KUALA TERENGGANU 1 Feb. - 'Sekolah Kita' yang merupakan kelas pembelajaran di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini sejak 2004 telah memberi manfaat besar kepada pesakit kanak-kanak yang terpaksa meninggalkan persekolahan kerana menerima rawatan.
Program dengan kerjasama syarikat ExxonMobil itu bagi memastikan pelajaran kanak-kanak tidak terabai dan telah diperluaskan ke Hospital Kemaman pada tahun lalu dan akan terus dipertingkatkan kemudahan jika keadaan memerlukan.
Pengurus Hal Ehwal Awam dan Hubungan Kerajaan ExxonMobil Subsidiari, ExxonMobil Malaysia, Farid Jaafar berkata, pihaknya menyediakan dana bagi menggerakkan kelas itu yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk komputer dan bahan bacaan di samping suasana yang menceriakan.
"Ini merupakan salah satu program di bawah tanggungjawab sosial korporat kami dan ExxonMobil memperuntukkan kira-kira RM1 juta bagi melaksanakan pelbagai program kecemerlangan pendidikan dan modal insan di negeri ini setiap tahun," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena lawatan Pengerusi Subsidiari ExxonMobil Malaysia, J. Hunter Farris ke 'Sekolah Kita' di sini, semalam bagi meninjau perkembangannya setelah dinaik taraf.
'Sekolah Kita' memberi peluang kepada pesakit kronik dan talasemia di wad pediatrik yang menerima rawatan panjang atau pesakit yang kerap menerima rawatan harian.


Katanya, langkah itu membolehkan mereka memanfaatkan masa dengan aktiviti pembelajaran secara santai dalam suasana menggembirakan.
Menurut Farid, 'Sekolah Kita' mendapat bantuan tenaga pengajar daripada kalangan pelajar Fakulti Bahasa Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) yang mengajar secara sukarela setiap minggu secara bergilir.
"Pada masa ini 'Sekolah Kita' hanya dapat menempatkan antara 15 hingga 20 kanak-kanak dalam satu masa dan ExxonMobil bersedia untuk menimbang peruntukan tambahan bagi memberi peluang kepada lebih ramai kanak-kanak mendapat manfaat," ujar Farid.
Terdahulu, Pemangku Pengarah HSNZ, Dr. Nor Azimi Yunus ketika menyampaikan taklimat ringkas mengenai perjalanan 'Sekolah Kita' mengucapkan terima kasih kepada ExxonMobil yang terus memberi komitmen terhadap program itu.
Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan telah meluluskan pelaksanaan Sekolah Dalam Hospital di HSNZ mengikut konsep sekolah harian biasa pada tahun lalu tetapi belum dapat dilaksanakan kerana kemudahan premis yang terhad.


Sumber -  Utusan Melayu (M) Bhd