Ahad, 3 Februari 2013

Perkhemahan Maulidur Rasul pengakap


KUALA TERENGGANU 31 Jan. - Kira-kira 3,000 pengakap dari seluruh negara akan menyertai Perkhemahan Maulidur Rasul Pengakap Peringkat Kebangsaan 2013 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail dekat sini selama tiga hari mulai esok.
Program yang pertama kali diadakan itu bertujuan mendekatkan ahli-ahli dengan program bercorak keagamaan dan menyemarakkan perayaan menyambut ulang tahun kelahiran Rasulullah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, program itu dapat memupuk komitmen tinggi dalam kalangan pemimpin dan ahli pengakap bagi menyokong sebarang aktiviti keagamaan yang boleh mendorong kepada perpaduan ummah.
"Pada masa yang sama, program itu juga bertujuan memberi pendedahan kepada mereka betapa perlunya kita menyokong usaha bagi memantapkan kerohanian dan mentaati Rasul serta pemimpin," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, pengisian perkhemahan tersebut termasuk pengurusan jenazah, amalan selawat, kursus dan aktiviti penyembelihan ternakan dan riadah.
"Kursus berkenaan akan dijalankan sepanjang program tersebut mengikut masa yang ditetapkan dan akan dikendalikan oleh kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu serta mereka yang pakar dalam bidang berkenaan," katanya.
Kemuncak bagi program itu ialah Ceramah Maulidur Rasul yang akan diadakan di kem berkenaan pada malam 2 Februari dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan untuk berangkat ke majlis berkenaan.


Sumber -  Utusan Melayu (M) Bhd