Selasa, 5 Februari 2013

Jabatan Pelajaran Terengganu Sasar Semua Sekolah Satu Sesi Dalam Tempoh Lima Tahun

KUALA TERENGGANU, 5 Feb (Bernama) -- Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) menyasarkan semua sekolah di negeri itu akan menjalankan persekolahan satu sesi dalam tempoh lima tahun lagi.
Pengarahnya Zakaria Hussin berkata setakat ini masih terdapat 21 sekolah menjalankan dua sesi, membabitkan 11 sekolah menengah dan 10 sekolah rendah yang kebanyakan terletak di bandar-bandar utama Terengganu.
Persekolahan satu sesi dijangka dapat dilaksana dengan pembinaan sekolah baharu bagi menampung jumlah pelajar dan usaha mengenal pasti tapak sekolah baharu sedang dijalankan, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Menurutnya, pembinaan sekolah baharu itu merupakan langkah jangka panjang sektor pendidikan Terengganu serta menumpukan kawasan berkepadatan penduduk tinggi.
"JPNT banyak mengadakan perbincangan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Galian di setiap daerah untuk mengetahui pelan pembangunan di setiap kawasan untuk memudahkan jabatan merancang aspek infrastruktur fizikal bagi keperluan pendidikan masa depan," katanya.
Buat masa ini dua kawasan telah dikenal pasti sebagai tapak sekolah baharu iaitu di Bandar Al Muktafi Billah Shah di Dungun membabitkan kawasan seluas 12 hektar dan di Bandar Baru Cheneh, Kemaman (20 hektar). Terengganu kini mempunyai 493 buah sekolah.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata purata kepadatan pelajar di sekolah dua sesi itu ialah antara 1,300 dan 1,600 orang.
"Istimewanya Terengganu ialah kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said memberi keutamaan terhadap apa sahaja keperluan pendidikan, termasuk menyediakan tanah untuk pembinaan sekolah baru.
"Jabatan yakin masalah dua sesi ini akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat kerana kerja pembinaan sekolah baru dapat dimulakan sebaik mendapat peruntukan kewangan dari Kementerian Pelajaran," katanya.

-- BERNAMA