Selasa, 26 Jun 2012

NUTP MINTA SEMAK PANGKAT GURU KANAN

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Laporan Akhbar oleh Haspaizi Mohd Zain dalam ruangan Berita akhbar Berita Harian bertarikh 7 Jun 2012NUTP minta semak pangkat guru kanan.
 
YAB Perdana Menteri Malaysia di dalam ucapannya sewaktu Majlis Perhimpunan Khas Penjawat Awam Bersama YAB Perdana Menteri Pada 08 Mac 2012 (Khamis)  di Putrajaya International Convention Centre (PICC) telah mengumumkan bahawa kerajaan akan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip Time-Based (TB) Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) seperti yang diumumkan dalam ucapan Bajet 2012.
 
Berdasarkan pengumuman tersebut, Kerajaan telah menggubal dasar di mana kerjaya PPPLD boleh meningkat sehingga Gred DGA38 dalam tempoh perkhidmatan 21 tahun dengan syarat memenuhi tahap kecemerlangan serta syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP). Berbanding kaedah kenaikan pangkat TB sebelum ini, ia tidak memberi peluang kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) Gred DGA29 meningkat ke Gred DGA34 dan DGA38.
 
Perkara ini telah dipersetujui bersama oleh semua pihak dalam mesyuarat pada 06 April 2012 yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia,YBhg Tan Sri Abdul Ghafar bin Mahmud yang turut dihadiri oleh wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran dan wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Berdasarkan keputusan mesyuarat tersebut, semua aspek telah diambil kira berhubung syarat kenaikan pangkat, tempoh perkhidmatan yang melayakkan dan kaedah penetapan tarikh kenaikan pangkat.
 
Langkah Kerajaan untuk menambahbaik kaedah kenaikan pangkat ini adalah merupakan penyelesaian terbaik bagi semua pihak sebagai menghargai peranan serta sumbangan guru-guru termasuk guru kanan yang senantiasa mencurahkan jasa bakti untuk mendidik anak bangsa. KPM pada masa yang sama bagi tempoh 01 Januari 2012 hingga 31 Mei 2012, telah berjaya melaksanakan kenaikan pangkat Time-Based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK) bagi semua PPP yang layak dan memenuhi syarat-syarat kenaikan pangkat seramai 39,408 orang. Semoga kenaikan pangkat ini dapat menyuntik motivasi dan semangat kepada semua guru untuk terus berkhidmat bagi memartabatkan agenda pendidikan nasional.  
 
 
 
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA