Selasa, 19 Jun 2012

Berita Harian bertarikh 5 Jun 2012 – SYOR SISTEM KHAS NILAI MARKAH PEPERIKSAAN

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Laporan Akhbar oleh Syuhada Choo Abdullah dalam ruangan Berita akhbar Berita Harian bertarikh 5 Jun 2012Syor sistem khas nilai markah peperiksaan.
 KPM menghargai cadangan dan pandangan ibu bapa dan guru menerusi siri Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) yang disiarkan.
 KPM ingin memaklumkan bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 17 Disember 2010 telah bersetuju supaya penambahbaikan sistem pentaksiran kebangsaan bagi UPSR dilaksanakan mulai sesi persekolahan 2011 dengan memberikan penekanan kepada pentaksiran untuk pembelajaran dan pentaksiran tentang pembelajaran.
 Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik dan mampu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara dan akur kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Justeru PBS dilaksanakan oleh guru-guru di sekolah secara terancang mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan. 
KPM ingin menegaskan bahawa PBS adalah sebahagian daripada agenda transformasi pendidikan atas kesedaran bahawa pendidikan di Malaysia didakwa terlalu berpaksikan peperiksaan dan tidak holistik.
 
 
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA