Isnin, 4 Jun 2012

KUALA TERENGGANU, 31 Mei (Bernama) -- Tiga sekolah baru di Kemaman dijangka beroperasi akhir Julai ini, sekaligus dapat mengatasi masalah kesesakan murid di sekolah-sekolah di daerah tersebut.
Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Zakaria Hussin berkata setiap sekolah berkenaan dijangka mampu menempatkan lebih 1,000 pelajar dalam satu masa.
Katanya tiga sekolah baru tersebut ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kuang, SMK Banggol dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Jaya, yang kesemuanya melibatkan kos pembinaan melebihi RM65 juta.
"Kita sangat berharap sekolah baru itu tiada masalah dan dapat diguna akhir Julai ini," katanya kepada pemberita selepas majlis 'Jasamu Dikenang' dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu di sini Khamis.
Beliau berkata kapasiti sekolah-sekolah sedia ada di daerah berkenaan sudah padat dengan pelajar berikutan pembangunan yang sedang berlaku di sekitarnya.

-- BERNAMA