Ahad, 8 April 2012

Transformasi sekolah luar bandar



PAGOH: Kementerian Pelajaran akan membuat kajian rapi bagi mengenal pasti punca atau masalah dihadapi sekolah luar bandar berikutan masih wujud jurang dengan sekolah bandar yang lebih cemerlang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang terbaik dalam tempoh lima tahun, ruang pencapaian pelajar luar bandar dan bandar masih besar.
“Saya mahu lancarkan program transformasi sekolah luar bandar, supaya dalam beberapa tahun akan datang, jurang yang memisahkan itu dapat dirapatkan,” katanya berucap merasmikan majlis jalinan mesra warga pendidikan dan perasmian dewan sekolah Parlimen Pagoh, di sini, semalam. 
Muhyiddin berkata, kajian akan melihat punca pencapaian sekolah luar bandar masih rendah dan hasilnya diharap berupaya mengurangkan jurang antara dua kategori sekolah berkenaan. 
“Apakah sekolah bandar lebih baik daripada aspek infrastrukturnya, apakah guru di sekolah bandar lebih mahir dan apakah anak pelajar di bandar lebih mahir. 
“Ia tidak semestinya kerana sudah terbukti sejak beberapa tahun lalu, keputusan pelajar luar bandar dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), SPM, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga agak baik, sebab itu perlu ambil inisiatif lebih daripada biasa supaya boleh meningkatkan pencapaian ini ke tahap lebih tinggi,” katanya. 
Beliau berkata, pihaknya mahu melihat dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, tiada lagi jurang pemisah antara sekolah luar bandar dan bandar kerana kerajaan tidak pernah membezakannya dalam aspek kualiti pendidikan. 


Sumber - Berita Harian Online