Khamis, 2 Februari 2012

Mesyuarat Semakan Perjawatan 2012 dan Verifikasi Data Opmen 31 Januari 2012



Mesyuarat semakan perjawatan dan verifikasi data OPMEN status 31 Januari 2012 telah berjaya dilaksanakan pada 1 hingga 3 Februari 2012 di Hotel Shahzan Inn, Kuantan. Mesyuarat telah dipengerusikan oleh En. Zakariah b. Ali, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu dengan dihadiri oleh semua Penolong Pegawai Pelajaran Daerah (Pengurusan Sekolah) setiap daerah, Penolong Pengarah Pengurusan Guru,Penolong Pengarah Data & ABM, Penolong Pengarah Projek Khas/SBP/SKK, Penolong Pengarah Pengurusan Murid dan Penyelia Pendidikan Khas. Intipati daripada ucap utama Tuan Ketua Sektor, senario semasa di Terengganu adalah jumlah murid yang semakin menyusut di sekolah menengah harian di negeri Terengganu. Kesannya kepada keperluan perjawatan yang diperlukan. Apa yang berlaku ialah pada musim permohonan pertukaran guru, sejumlah ribuan guru di luar negeri Terengganu yang memohon kembali bertugas di negeri asal. 
Tujuan utama mesyuarat adalah untuk membuat semakan keperluan sebenar perjawatan guru di sekolah menengah harian, sekolah menengah bestari dan sekolah menengah model khas bagi sesi persekolahan 2012. Keperluan perjawatan tersebut diambilkira berdasarkan operasi sebenar kelas akademik, kelas aliran agama, kelas tingkatan enam, kelas mata pelajaran vokasional dan kelas matapelajaran teknikal yang disemak melalui sistem aplikasi OPMEN. Rumusan daripada mesyuarat tersebut, keperluan perjawatan di negeri Terengganu semakin 'mengecil' disebabkan bilangan murid yang semakin berkurangan dari tahun ke tahun. Hakikatnya, guru-guru di sekolah menengah harian negeri Terengganu perlu bersedia pada sebarang keadaan semasa. Apabila keperluan guru berkurangan menyebabkan ada sekolah yang pengisiannya melebihi daripada keperluan. Maka 'redeployment' atau arahan pertukaran terpaksa dilaksanakan sebaik mungkin oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu mengikut keperluan sebenar semasa sekolah, "school base". Sesuatu yang di luar jangkaan, jika sebelum ini ada daerah yang mengalami 'defisit' guru yang agak besar, tetapi dengan pengurangan kelas yang beroperasi dan juga pindaan norma perjawatan bagi kelas MPT Perdagangan dan Prinsip Akaun daripada 0.5n kepada 0.2n menyebabkan 'defisit' tersebut menjadi kecil.