Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengeluarkan buku Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Sihat bagi mengelakkan berlakunya keracunan makanan dan mengurangkan masalah obesiti dalam kalangan pelajar yang sejak akhir-akhir ini dirujuk sebagai budaya pemakanan yang tidak seimbang.
Buku panduan tersebut turut menyenaraikan sejumlah 227 jenis makanan dan minuman yang boleh dijual di kantin-kantin sekolah di seluruh negara manakala proses menggredkan semua tahap kebersihan premis pengendalian makanan sedang giat dilaksanakan sejak tahun lalu.
Sehingga akhir tahun 2011, lebih sepuluh peratus daripada 10,000 sekolah telah diperiksa untuk digredkan sebagaimana dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ke atas premis-premis yang mengendalikan makanan kepada masyarakat umum.
Sesebuah kantin yang mencapai tahap kebersihan 90 peratus ke atas akan diberikan tahap kebersihan A, memperoleh skor antara 70 hingga 89 peratus dikategorikan B, 50 hingga 69 peratus tahap C dan kurang daripada 50 peratus akan dikategorikan sebagai D.
Sesebuah kantin yang mencapai tahap D akan diberikan amaran dan dalam tempoh tertentu jika tahap kebersihannya tidak berubah, pengendali kantin tersebut akan diberikan arahan tutup manakala pengendali makanan dari luar akan diberikan peluang sementara untuk menjual makanan di sekolah sebelum proses tawaran semula dilaksanakan.
Bagi mengelakkan sebarang masalah, pengendali kantin yang diarahkan tutup tidak lagi akan dipertimbangkan pada masa depan untuk mengambil bahagian dalam mengendalikan kantin di sekolah-sekolah.
Sepanjang tahun 2011, terdapat sejumlah 220 kes keracunan makanan di sekolah dan melibatkan sejumlah 8,010 pelajar di seluruh negara.
Episod keracunan makanan di sekolah telah dikesan berlaku dalam tiga keadaan iaitu ke atas program susu 1Malaysia (97 kes), kantin sekolah (45 kes) dan makanan di asrama (78 kes).
Keracunan ke atas program susu 1Malaysia paling banyak dikesan berlaku di Kelantan (24 kes), Terengganu dan Perak (masing-masing 12 kes), Selangor dan Johor (masing-masing 9 kes), Melaka (8 kes), Negeri Sembilan (7), Pahang (6), Sarawak (4), Kedah (3), Pulau Pinang (2) dan Perlis (1).
Sebahagian besar masalah keracunan program susu 1 Malaysia berlaku adalah sikap para pelajar yang tidak dapat menghabiskan sekotak susu yang dibekalkan itu dalam tempoh yang ditetapkan.
Apabila kotak susu itu dibiarkan tanpa disimpan dalam peti sejuk, ia akan menyebabkan susu tersebut terkena udara dan menjadi cepat masam.
Dalam keadaan susu yang masam itu, apabila diminum untuk kali berikutnya akan menyebabkan peminumnya akan berhadapan dengan muntah-muntah dan loya. Situasi inilah yang kemudiannya dinamakan keracunan akibat meminum susu.
Ada juga yang disebabkan faktor cara penyimpanan susu yang tidak sesuai di mana premis yang dijadikan stor simpanan tidak bersih atau tidak mempunyai kemudahan bilik sejuk.
Kes keracunan yang berpunca daripada mengambil makanan yang dijual dikantin paling banyak berlaku di Johor (11 kes), masing-masing 3 kes berlaku di Perak, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu dan Kelantan manakala di Perlis satu kes.
Faktor utama kejadian itu adalah disebabkan oleh makanan yang dijual telah basi, persekitaran kantin yang kurang bersih (termasuk peralatan memasak) dan sikap pekerja kantin yang tidak mementingkan kesihatan.
Kes-kes keracunan yang melibatkan pelajar di asrama sekolah berlaku paling banyak di Johor (13 kes), Sabah (10 kes), Sarawak (8 kes), Melaka dan Perak (masing-masing 7 kes), Selangor dan Pulau Pinang (masing-masing 6 kes), Kedah (5 kes) dan Terengganu (4 kes).
Manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang pula masing-masing satu kes.