Isnin, 12 Mac 2012

Peruntukan RM500,000 Tingkat Kemahiran Bahasa Inggeris Dan Arab Pelajar Terengganu

KUALA TERENGGANU, 5 Mac (Bernama) -- Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) akan memperuntukkan sebanyak RM500,000 untuk program pengukuhan bahasa Inggeris dan Arab di kalangan pelajar sekolah di Terengganu.
Jumlah itu adalah peningkatan hampir 100 peratus berbanding RM470,000 yang dibelanjakan pada 2010 dan 2011, dengan masing-masing purata RM235,000 dibelanjakan dalam tempoh dua tahun lepas.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd Fadzli Yusof berkata pihaknya menambah jumlah peruntukan pada tahun ini hasil perbincangan dengan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) untuk menjadikan pelajar Sekolah Menengah celik berbahasa selain dalam bahasa ibunda mereka.
"Kelemahan utama pelajar Terengganu adalah dalam pertuturan bahasa asing di mana mereka tidak mahir menulis dan berkomunikasi menggunakan dua bahasa utama itu.
"Kami berharap peruntukan yang besar ini akan dapat meningkatkan kemahiran pelajar untuk berkomunikasi dengan lebih yakin dalam pertandingan yang bakal diadakan," katanya.

-- BERNAMA