Rabu, 13 Februari 2013

PELAWAAN PEMBENTANGAN KERTAS KERJA KOLOKIUM ICT DALAM PENGURUSAN DAN KEPIMPINAN PENDIDIKAN 2013


PELAWAAN PEMBENTANGAN KERTAS KERJA
KOLOKIUM ICT DALAM PENGURUSAN DAN KEPIMPINAN PENDIDIKAN 2013
18 – 20 Jun, 2013
Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia
69000 Genting Highlands, Pahang, Malaysia
Anjuran
Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pelajaran Malaysia

KOLOKIUM ICT DALAM PENGURUSAN DAN KEPIMPINAN PENDIDIKAN 2013
Dasar pendidikan Malaysia berhasrat melahirkan modal insan yang berupaya bersaing di persada dunia dengan kemahiran abad ke-21.  Salah satu strategi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 adalah memperluaskan akses dan ekuiti kemudahan ICT kepada semua murid. 
Demi menyamaratakan akses dan ekuiti kepada kemudahan ICT, kerajaan Malaysia telah memperuntukkan perbelanjaan untuk membangunkan prasarana ICT mengikut perkembangan masa. 
Pelaburan kerajaan untuk membangunkan prasarana ICT di sekolah akan memberi pulangan atas pelaburan (ROI) yang optimum jika segala kemudahan yang dibekalkan oleh kerajaan dapat dimanfaatkan. Ke arah ini, pemimpin sekolah memainkan peranan yang penting dalam pengurusan segala sumber di sekolah secara cekap dan kreatif. 
Sesungguhnya, ramai pemimpin sekolah telah berusaha untuk mempertingkatkan kemudahan ICT di sekolah serta membudayakan pengintegrasian ICT dalam pembelajaran dan pengajaran walaupun menghadapi pelbagai cabaran.  
Kejayaan mereka dalam pelaksanaan inisiatif ICT harus diperdengarkan dalam satu forum yang besar supaya pengetahuan, pengalaman dan amalan yang baik boleh dikongsi dan dicontohi pemimpin sekolah yang lain.
Institut Aminuddin Baki, sebagai pusat latihan kepimpinan dan pengurusan pendidikan mengambil inisiatif untuk menganjurkan KOLOKIUM ICT DALAM PENGURUSAN DAN KEPIMPINAN PENDIDIKAN 2013 sebagai platform perkongsian ilmu bidang ICT dalam pendidikan. 

KOLOKIUM ICT DALAM PENGURUSAN DAN KEPIMPINAN PENDIDIKAN 2013 memberi peluang dan ruang kepada semua warga pendidik, pengamal dan pengkaji berkongsi amalan, pengalaman, kemahiran dan idea inovatif terhadap pelaksanaan inisiatif ICT dalam organisasi pendidikan serta menangani sebarang isu berkaitan pengurusan ICT di sekolah.

Objektif:
  1. berkongsi maklumat tentang pengurusan pelaksanaan inisiatif ICT di sekolah.
  2. berkongsi amalan kepimpinan pengintegrasian ICT dalam pembelajaran dan pengajaran serta pengurusan sekolah.
  3. mengenal pasti isu-isu kepimpinan dan pengurusan ICT serta cadangan penyelesaiannya.

Tema:
“Kepimpinan Pengurusan ICT Dalam Pendidikan Abad ke-21”

Sub-tema:
  1. Pengurusan pelaksanaan inisiatif ICT dalam pendidikan
  2. Kepimpinan pengintegrasian ICT dalam pendidikan
Forum:
“Menangani isu dan cabaran pelaksanaan ICT dalam pengurusan dan kepimpinan pendidikan”
PELAWAAN PEMBENTANGAN KERTAS KERJA
Pelawaan sebagai peserta kolokium dan pembentang kertas kerja atau laporan kajian kes yang berkaitan dengan sub-tema kolokium adalah terbuka kepada semua pemimpin sekolah, pendidik di universiti tempatan, institusi perguruan, institusi pendidikan, dan pegawai KPM yang berminat membincangkan ICT dalam pendidikan secara ilmiah.
Semua kertas kerja yang diterima untuk pembentangan hendaklah karya penulis sendiri yang tidak pernah dibentang atau diterbitkan.
Sila emel abstrak kepada jictm@iab.edu.my pada atau sebelum 15 Mac 2013.
Semua kertas kerja yang dipilih untuk pembentangan mesti diemel kepada urus setia kolokium pada atau sebelum15 Mei 2013.
GARIS PANDUAN PENYEDIAAN ABSTRAK
  1. Semua abstrak hendaklah ditulis dalam Bahasa Malaysia.
  2. Panjang abstrak antara 300 – 350 perkataan.
  3. Kata kunci kertas kerja perlu dinyatakan dalam abstrak.
  4. Tajuk kertas kerja dan sub-tema kolokium yang berkaitan hendaklah dinyatakan dalam abstrak.
  5. Objektif penyelidikan, metodologi dan rumusan dapatan hendaklah dinyatakan dalam abstrak.
  6. Perkara lain yang harus diserta bersama abstrak ialah:
  • Nama penuh penulis
  • Ibu pejabat atau organisasi
  • Alamat emel yang boleh digunakan oleh Urus Setia Kolokium untuk berkomunikasi dengan pembentang
  1. Abstrak hendaklah diserahkan dalam bentuk word document format (.doc/.docx), jenis font Times New Romans, dengan saiz font 12, single line spacing.
  2. Sekiranya dipilih, penyerahan abstrak kepada Urus Setia memberi implikasi bahawa penulis bersedia mendaftarkan diri sebagai peserta kolokium dan hadir untuk membentangkan kertas kerja berkenaan di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.
GARIS PANDUAN PENYERAHAN KERTAS KERJA
  1. Semua kertas kerja hendaklah ditulis dalam Bahasa Malaysia.
  2. Tajuk kertas kerja dan sub-tema kolokium yang berkaitan hendaklah dinyatakan dalam kertas kerja.
  3. Objektif penyelidikan, metodologi dan rumusan dapatan hendaklah dinyatakan dalam kertas kerja berkaitan laporan kajian kes.
  4. Perkara lain yang harus diserta bersama kertas kerja:
  • Nama penuh penulis
  • Ibu pejabat atau organisasi
  • Alamat emel yang boleh digunakan oleh Urus Setia Kolokium untuk berkomunikasi dengan pembentang
  1. Panjang kertas kerja tidak melebihi 12 muka surat.
  2. Kertas kerja hendaklah diserahkan dalam bentuk word document format (.doc/.docx), jenis font Times New Romans, saiz font 12, dan 1.5 line spacing.
GARIS PANDUAN PEMBENTANGAN
  • Semua kertas kerja akan dibentangkan dalam sesi berasingan secara berturutan.
  • Setiap pembentangan adalah selama 30 minit diikuti dengan sesi soal-jawab 10 minit.
  • Biodata pembentang dan bahan pembentangan dalam format Microsoft Powerpoint (.ppt/pptx) hendaklah diserah kepada Urus Setia bersama-sama kertas kerja.
  • Pembentangan disampaikan dalam Bahasa Malaysia.
  • Pembentangan tidak dikenakan sebarang bayaran.
  • Segala perbelanjaan termasuk penginapan ditanggung oleh pembentang.
TARIKH-TARIKH PENTING
  • 15 Mac 2013 – Tarikh akhir penyerahan abstrak
  • 1 April 2013 –  Pemberitahuan keputusan pemohonan pembentangan dalam kolokium
  • 15 Mei 2013 – Tarikh akhir penyerahan kertas kerja
  • 17 Jun 2013 – Pendaftaran di Institut Aminuddin Baki
LAMAN WEB

Sumber - Portal Rasmi KPM