Ahad, 3 Februari 2013

BH bantu promosi pendidikan negara

Kuala Terengganu: Kerajaan Terengganu menyifatkan Pesta Pendidikan BH - Eksplorasi DMS (Didik, Minda dan Skor) sebagai sumbangan besar akhbar ini dalam memperkasakan sektor pendidikan negara. 
Menerusi program itu, BH secara tidak langsung membantu mempromosi Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu dan membuka minda rakyat negeri ini supaya memberi perhatian serius kepada perkembangan pendidikan. 

Sedia bekerjasama dengan BH 


Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan BH menganjurkan program berkaitan pendidikan seperti pesta terbabit. 
“Menerusi program ini, BH turut membantu mempromosi kepentingan pendidikan yang juga agenda utama kerajaan negeri. BH juga institusi penyebar maklumat membantu memastikan kejayaan pendidikan negara yang menjadi agenda utama kerajaan, masyarakat dan sekolah,” katanya. 
Beliau berkata demikian selepas melancarkan program berkenaan di SMK Ibrahim Fikri, Kampung Bukit Tok Beng, di sini semalam. Hadir sama Pengarang Eksekutif BH (Rencana), Zainor Said; Ketua Unit Pembangunan Perniagaan Jabatan Pengedaran NSTP, Salmah Hanim Hares dan Pengurus Jualan NSTP Wilayah Timur, Hasruddin Hashim. 
Majlis yang turut dihadiri Pengurus Jualan NSTP Terengganu, Ozali Osman dan Pengetua SMK Ibrahim Fikri, Abdullah Mamat, dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,500 pelajar dari 10 sekolah menengah dan 10 sekolah rendah dari sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir bersama ibu bapa mereka.


Sumber - Berita Harian