KUALA TERENGGANU, 5 Feb (Bernama) -- Guru yang mahu aktif dalam politik disaran meletak jawatan bagi mengelak fokus mereka terganggu sewaktu sesi pembelajaran, kata Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) Zakaria Husin.
Beliau berkata JPNT tidak pernah menghalang mana-mana guru yang mahu meletak jawatan kerana berhasrat menceburi politik secara serius kerana tindakan itu lebih sesuai untuk kepentingan pelajar dan sektor pendidikan negeri ini.
Bagaimanapun, katanya, secara umumnya di Terengganu tidak ramai guru yang mahu aktif dalam politik dan kalau ada pun sekadar memegang jawatan biasa di peringkat cawangan.
"Sehingga kini, JPNT ada menerima kurang 10 permohonan rasmi daripada guru yang meminta kebenaran untuk memegang jawatan dalam parti politik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Refleksi Pendidikan bersama 500 guru di sini Selasa.
Beliau turut mengingatkan semua guru di Terengganu agar sentiasa menyokong dasar kerajaan dan tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang mahu meraih undi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
"Tidak sesuai jika kita sebagai penjawat awam tetapi menyokong pembangkang yang sentiasa tidak berpuas hati dengan apa sahaja usaha dilakukan kerajaan," katanya.
Beliau berkata JPNT turut memantau prestasi semua guru di negeri ini agar mereka sentiasa memberi khidmat terbaik demi memastikan hasrat Terengganu menjadi negeri anjung ilmu tercapai.
Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata Terengganu menerima 20 guru Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) pada tahun ini berbanding 17 pada tahun lalu yang diharap mampu meningkatkan penguasaan bahasa utama dunia itu di kalangan pelajar di negeri ini.
Namun, katanya, jumlah itu masih belum mencukupi dan kerajaan negeri akan mencari guru ETA dari negara lain selain Amerika, mungkin dari Australia.
-- BERNAMA