Isnin, 21 Januari 2013

Tangani masalah bateri e-Book

KUALA NERUS - Kerajaan Negeri akan menangani segera masalah bateri e-Book yang tidak boleh bertahan lama bagi memastikan ia dapat digunakan sepanjang tempoh pembelajaran pelajar di semua sekolah.Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif berkata, pihaknya akan berunding dengan Top IT mengenai langkah penyelesaian bagi memastikan bateri e-Book itu dapat digunakan dalam tempoh yang lama.
“Kita akan bincang dengan pegawai teknologi yang terlibat tentang bagaimana cara untuk memastikan bateri e-Book dapat bertahan dengan lebih lama kerana, kita ada menerima aduan yang mengatakan ada sebahagian e-Book yang digunakan pelajar mengalami masalah bateri.
“Ini kerana, Kerajaan Negeri memandang serius penggunaan e-Book dan kita juga sedang meneliti untuk turut menggunakan bahan pembelajaran itu dalam Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan Dun Seberang Takir di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, di sini, semalam.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sememangnya fokus serius terhadap penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) sejajar dengan usaha untuk merealisasikan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu.
Sehubungan itu, beliau turut meminta semua ibu bapa agar memainkan peranan untuk memantau penggunaan e-Book oleh anak-anak ketika berada di rumah,  bagi memastikan ia tidak disalah guna untuk aktiviti yang kurang sihat.
Sementara itu, dalam majlis berkenaan seramai 888 murid menerima bantuan wang tunai RM100 setiap seorang dan kebanyakan bapa yang ditemui turut menyatakan rasa syukur dan terima kasih dengan bantuan yang diterima.

Sumber - Sinar Harian