Kuala Lumpur: Langkah Kementerian Pengajian Tinggi melonggarkan syarat kepada tiga golongan bagi memasuki politeknik dan universiti awam tanpa mengikut meritokrasi adalah sesuatu yang wajar dan adil.
Menerusi pelaksanaan itu, pelajar miskin, orang kelainan upaya (OKU) serta golongan minoriti seperti Orang Ulu akan ditawarkan 5,200 tempat khusus di institusi pengajian bermula tahun ini.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata pihaknya menyambut baik pelaksanaan itu kerana ia memberi peluang yang adil kepada golongan berkenaan dalam mendapatkan pendidikan.
Katanya, sejak meritokrasi diperkenalkan, ramai pelajar dari golongan berkenaan sukar mendapat tempat di institusi pengajian tinggi kerana perlu bersaing dengan pelajar lain yang menerima kemudahan pembelajaran lebih baik sekali gus menyebabkan mereka tercicir.
Kurangkan keciciran
Beliau berkata, dengan pengenalan dasar baru ini diharapkan dapat mengurangkan kadar keciciran dan merapatkan jurang antara mereka dengan pelajar lain sekali gus memberi peluang sama rata untuk mendapatkan pendidikan tinggi.
“Ia satu keadilan kebajikan kepada mereka yang barangkali berhak kerana tidak mempunyai persiapan sama dengan orang lain ketika belajar dulu berikutan mengalami pelbagai kekurangan kemudahan pembelajaran.
“Diharapkan golongan ini tidak akan mensia-siakan peluang yang diberi oleh kerajaan dan dapat membantu menaiktaraf diri, keluarga dan kaum mereka,” katanya kepada BH ketika dihubungi di sini semalam.
Pantau ketat permohonan
Beliau menambah, PIBGN juga berharap kementerian dapat memantau dan memeriksa dengan ketat permohonan supaya tidak berlaku penyelewengan atau salah guna pihak tidak bertanggungjawab yang mahu memasuki IPTA dengan mudah.
Seramai 3,200 pelajar akan mengikuti pengajian di 32 politeknik mulai Mei depan, manakala 2,000 di 20 universiti awam pada September menerusi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Setiap universiti dan politeknik akan mengambil 100 pelajar tanpa menjejaskan unjuran dan kapasiti pengambilan sedia ada, manakala sistem kemasukan turut menggunapakai data Unit Pusat Universiti (UPU).
Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata pihaknya sudah lama menantikan langkah sedemikian dilaksanakan di negara ini kerana sebelum ini mereka berdepan pelbagai kesukaran untuk mendaftarkan pelajar OKU ke institusi pengajian tinggi.
Katanya, pelaksanaan dasar baru ini akan membolehkan pelajar OKU menyambung pengajian dengan lebih mudah, sekali gus membuktikan mereka juga mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pelajar lain.