KUALA TERENGGANU - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan berangkat ke majlis penutupan dan pengurniaan hadiah program pengukuhan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab Piala Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) 2012 di sini.
Mengiringi baginda, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah serta anggota-anggota exco kerajaan negeri.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong dalam ucapannya di majlis itu berkata tahun ini adalah tahun ketiga program itu diadakan.
Program termasuk 'Speech Choir' untuk sekolah menengah dan acara 'Smart English' untuk sekolah rendah seluruh negeri Terengganu.
Pertandingan ini anjuran bersama YDSM dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, bermula sejak 12 Julai dan tamat semalam.
Abdul Rahman berkata program itu mula menunjukkan pencapaian penting apabila sebahagian pelajar negeri ini beransur-ansur menunjukkan kejayaan mengatasi beban psikologi dan rasa kekok ketika berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan orang ramai.
"Kejayaan program pengukuhan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sebelum ini telah memberi ilham bagi pihak kami memulakan program baru iaitu program pengukuhan Bahasa Arab Piala YDSM mulai tahun ini," katanya.
Beliau berkata menerusi program baru itu diharap pelajar-pelajar sekolah agama di negeri ini dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa Arab, iaitu bahasa Al-Quran, dan salah satu bahasa penting di dunia kini. - Bernama