Isnin, 16 Julai 2012

KUALA TERENGGANU 14 Julai - Selepas Melaka, Johor dan Pulau Pinang, Terengganu bakal mengikut langkah menguatkuasakan peraturan larangan merokok di tempat awam dengan mengisytiharkan kawasan terpilih sebagai zon bebas asap rokok tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Toh Chin Yaw berkata, ia atas dasar rasa tanggungjawab kerajaan negeri menyediakan persekitaran yang bersih dan sihat terutamanya di kawasan tumpuan pelancong.
Pada masa ini katanya, Jabatan Kesihatan negeri telah mencadangkan beberapa kawasan dan kajian susulan akan dilakukan selain mengadakan perbincangan dengan penduduk sekitarnya.
"Kita mahu pelaksanaan ini mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak untuk menjayakannya agar langkah yang kita ambil ini dapat memberi kesan baik kepada semua.
"Ini kerana, Terengganu sering menjadi tumpuan pelancong setiap masa dan adalah wajar untuk kerajaan negeri mengambil inisiatif seperti ini bagi melindungi orang yang tidak merokok daripada terdedah dengan asap rokok," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Karnival Jelajah Sihat Bersama Komuniti dan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2012 Peringkat Negeri di Dataran Shahbandar dekat sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Jusoh dan Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Balkis Ab. Karim.
Kira-kira 1,000 orang mengunjungi karnival tersebut yang diadakan selama dua hari bermula semalam dengan pelbagai aktiviti disediakan antaranya senamrobik, pertandingan futsal, pameran kesihatan, pemeriksaan kesihatan percuma serta acara berjalan 10,000 langkah.

Sumber - Utusan Online