Isnin, 16 Julai 2012

Guru diminta lebih prihatin terhadap masalah pelajar perempuan

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri Terengganu meminta pendidik di negeri ini agar lebih prihatin terhadap masalah pelajar, khususnya pelajar perempuan, bagi mengelak gejala sosial seperti melahirkan anak di sekolah atau   membuang bayi terus berlaku.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Ahmad Razif Abd Rahman berkata walaupun kes sedemikian dikategori sebagai terpencil, namun beliau tetap memandang serius perkara itu.
Beliau berkata guru perlu peka terhadap anak didiknya dengan mengambil berat perkara yang berlaku di sekeliling mereka agar dapat mencegah pelajar daripada terjerumus dalam gejala sedemikian.
"Kita tidak menyalahkan sesiapa dalam kes berkenaan memandangkan pelajar perempuan terbabit baru sahaja memasuki sekolah berasrama berkenaan pada awal tahun lalu.
"Selain itu, pelajar yang menghuni di asrama juga mempunyai banyak cara untuk menyembunyikan kandungannya serta bijak mengaburi mata guru di sekolah pada zaman sekarang," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kes buang bayi melibatkan pelajar sekolah di Terengganu.
Ahmad Razif juga berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh berhubung kejadian itu dan menyerahkan perkara tersebut kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini, akhbar melaporkan tembelang seorang pelajar perempuan yang mengadu sakit perut sebelum mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, akhirnya pecah apabila mengaku baru melahirkan anak dan menyembunyikan bayinya dalam sebuah beg galas.
Beg berisi bayi perempuan yang dilahirkan pukul 1 pagi pada 3 Julai itu kemudian diserahkan kepada rakan pelajar tersebut tanpa memaklumkan isi kandungannya.
Mayat bayi perempuan yang cukup sifat itu ditemui selepas doktor yang merawat pelajar tersebut menghubungi rakan terbabit dan memintanya membawa beg galas berkenaan pada 6 petang hari yang sama.
Polis menahan seorang remaja lelaki untuk membantu siasatan berhubung kes itu beberapa hari kemudian.
Bagaimanapun, siasatan awal mendapati remaja lelaki itu dan pelajar perempuan berkenaan bukan pasangan kekasih namun mereka dipercayai mengadakan hubungan seks sebanyak dua kali pada tahun lepas. -- Bernama