Isnin, 28 Mei 2012

Sekolah Sukan Bukit Nenas Terima Prasarana Sukan Bernilai RM7.4 Juta



SETIU, 24 Mei (Bernama) -- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas Terengganu, di sini menerima prasarana sukan bernilai RM7.4 juta dalam usaha meningkatkan kecemerlangan dan pembangunan sukan pelajar di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Rozi Mamat berkata antara kemudahan sukan yang diterima sekolah itu termasuk sebuah astaka, trek olahraga, menaik taraf padang bola sepak dan dewan sukan serbaguna berbumbung.
Katanya kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan berjumlah RM600,000 setahun kepada sekolah melalui kemudahan biasiswa pelajar.
"Dengan adanya kemudahan prasarana sukan yang serba lengkap di sekolah ini, kita berharap usaha kerajaan untuk menjadikan Terengganu sebagai juara dalam bidang sukan mampu direalisasikan dengan kerjasama pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyerahan prasarana sukan kepada Pengetua SMK Bukit Nenas, Mohd Zamli Muda.

Sumber - BERNAMA