PENUBUHAN Kelab 1Malaysia dan Sekolah Angkat di bawah Jabatan Penerangan di seluruh negara akan diperkasakan bagi meningkatkan semangat patriotik serta cintakan tanah air di kalangan murid.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata, sudah tiba masanya penubuhan kedua-dua program berbentuk kokurikulum itu dipertingkat di sekolah-sekolah bersesuaian dengan keperluan semasa pada hari ini.
Menurutnya, langkah itu dilihat semakin 'terdesak' ekoran sikap tidak menghormati negara jelas ditunjukkan melalui insiden pelajar Malaysia di Taiwan yang memegang bendera Jalur Gemilang secara terbalik dan yang terbaharu berlaku di Singapura membabitkan rakyat Malaysia berhimpun secara haram membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 lalu.
''Kelab 1Malaysia sebelum ini dikenali Kelab Setia diperkenalkan tahun 1995 dan dijenamakan semula tahun lalu bertujuan untuk melahirkan generasi bersemangat patriotik dan berwawasan dengan tumpuan di kalangan murid sekolah menengah.
''Kelab ini meletakkan misi untuk menterjemahkan dan merealisasikan hasrat kepimpinan negara bagi membentuk generasi 1Malaysia dengan menerapkan nilai-nilai aspirasi negara melalui pendekatan komunikasi yang strategik," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Ibrahim, setakat ini, terdapat 741 buah Kelab 1Malaysia ditubuhkan di sekolah yang disertai murid tingkatan empat hingga enam yang melaksanakan pelbagai aktiviti seperti perkhemahan, lawatan sambil belajar, ceramah dasar kerajaan atau isu semasa dan sambutan kemerdekaan.
''Kami menyediakan lebih 10 aktiviti beserta pegawai jabatan yang bertindak sebagai pembimbing kelab untuk mengerakkan aktiviti seperti pengucapan awam dan latihan juruacara serta pidato.
''Konsep ini sesuai dengan matlamat penubuhan kelab yang menjadi saluran komunikasi untuk membentuk pembangunan minda minda melalui penerapan nilai murni serta menepati aspirasi negara," katanya.
Walau bagaimanapun, kata Ibrahim, bilangan sekolah yang menyertai penubuhan Kelab 1Malaysia masih kecil berbanding 2,340 jumlah keseluruhan sekolah menengah biar pun kelab ini sudah lama diperkenalkan oleh Jabatan Penerangan.
''Ada sekolah yang pernah ditawarkan penubuhan kelab ini tetapi menolak atas sebab sudah ada banyak kelab atau ada alasan lain namun kita tidak akan berputus asa dan menambah lebih banyak Kelab 1Malaysia dari semasa ke semasa," katanya.
Selain itu, kata beliau, berbanding Kelab 1Malaysia, penubuhan Sekolah Angkat diperkenalkan di sekolah rendah bermula tahun 2009 dengan tumpuan yang sama iaitu menyemai semangat patriotik di kalangan kanak-kanak.
Malah, katanya, di bawah program itu, jabatan memperuntukkan RM1,000 di setiap negeri bagi menyalurkan dana tersebut di sekolah yang terlibat bagi menggerakkan aktiviti ceramah, kem motivasi, pencapaian anugerah murid cemerlang dan khidmat sosial.
Sumber - Utusan Melayu (M) Bhd