Rabu, 9 Januari 2013

SMK Seri Berang terima insentif langganan


HULU TERENGGANU 8 Jan. - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Berang dekat sini, yang membuat langganan terbanyak naskhah Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia dalam kalangan sekolah di negara ini menerima Insentif Langganan Tertinggi (ILT).
Sebanyak 17,480 naskhah dibekalkan kepada sekolah itu sepanjang sesi persekolahan dari Januari hingga Oktober tahun lalu dengan kadar 100 naskhah sehari bagi dimanfaatkan kepada pelajar terutama dalam kalangan pelajar tingkatan lima dan enam.
Melalui insentif bagi tahun 2012 itu, SMK Berang menerima hadiah wang tunai RM2,000 yang disampaikan Eksekutif Jualan, Jabatan Pemasaran, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad cawangan Terengganu, Abdul Hafiz Baharuddin di sekolah itu semalam.
Menurut Abdul Hafiz, insentif itu merupakan sebahagian usaha pihak syarikat berkenaan menghargai para pelanggan setia akhbar berkenaan.


Sumber -  Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 8 Januari 2013

Sekolah Imtiaz di setiap daerah


KUALA TERENGGANU 6 Dis. - Sekolah Imtiaz yang dikelolakan Yayasan Terengganu (YT) dijangka ditubuhkan di setiap daerah di negeri ini tidak lama lagi.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ketika ini, sekolah tersebut hanya ada di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Besut, Dungun dan Hulu Terengganu.
"Sebuah lagi Sekolah Imtiaz kini sedang dalam pembinaan di Kemaman dan menelan belanja kira-kira RM60 juta.
"Apabila sekolah itu siap sepenuhnya kelak, kerajaan negeri bercadang membina sekurang-kurangnya dua lagi Sekolah Imtiaz iaitu masing-masing satu di Setiu dan Marang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Al-Quran Sekolah-Sekolah Imtiaz Yayasan Terengganu 2012 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengarah YT, Zakaria Yusof serta keempat-empat pengetua Sekolah Imtiaz berkenaan.
Pada majlis itu, sebanyak 307 bekas pelajar tingkatan lima Sekolah Imtiaz menerima sijil tamat pengajian masing-masing manakala 287 pelajar pula menerima sijil penghargaan serta wang tunai sebanyak RM1,000 yang disumbangkan kerajaan negeri kerana berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.
Turut diadakan penyampaian beberapa anugerah termasuk Anugerah Khas Menteri Besar Terengganu, Anugerah Khas Ulul Albab, Anugerah Muhammad Al-Fateh (Kepimpinan), Anugerah Imam As-Syafie (Personaliti), Anugerah Al-Farabi (Kokurikulum) serta Anugerah Ibnu Sina (Akademik).
Dalam pada itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri akan terus mengekalkan kuota sebanyak 90 peratus untuk anak negeri bagi memasuki sekolah berkenaan.
"Setakat ini, kita hanya beri 10 peratus kuota untuk pelajar yang bukan berasal dari negeri ini dan kita bercadang mengekalkan kuota itu walaupun dapat banyak permintaan daripada pelajar luar Terengganu untuk memasuki sekolah ini," ujar beliau.
Ketika ini, terdapat 1,961 pelajar yang mengikuti pengajian di lima buah sekolah berkenaan termasuk pelajar dari kampus sementara di Kemaman.


Sumber -  Utusan Melayu (M) Bhd 

Belajar awal untuk cemerlang


SESI persekolahan tahun 2013 sudah pun bermula. Ada yang baru memasuki alam persekolahan, ada yang mula melangkah ke sekolah menengah iaitu Tingkatan 1, ada pula yang memulakan pengalaman baru berada di sekolah berasrama dan terpisah dengan kedua ibu bapa. Anak-anak ini akan mula menyesuaikan diri setelah bersekolah beberapa minggu. Ada pula pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan ini pelajar perlu bersedia awal. Kegagalan belajar awal akan mengundang tekanan yang tidak perlu apabila peperiksaan semakin hampir pada suku ketiga 2013 ini.
Berikut adalah beberapa tip bagi para pelajar yang mahu belajar awal:
Ada pelajar yang memberi alasan tidak suka belajar awal kerana apa yang dibaca dan diulang kaji itu akan lupa dan akhirnya terpaksa dibaca semula ketika menjelangnya peperiksaan. Ini adalah salah faham tentang konsep belajar awal. Belajar awal bukan semestinya mengingati semua apa yang dipelajari. Sebaliknya, belajar awal bertujuan menguasai mata pelajaran dan memahaminya. Kalau lupa sekali pun tidak mengapa sebab pelajar masih punya masa yang panjang untuk mengingatinya. Setelah berulang kali membaca, secara tidak langsung maklumat dan fakta-fakta itu akan tersimpan dalam memori jangka panjang. Yang penting mesti faham dahulu apa yang dipelajari.

Sisipan eLab, ADaP patuhi Pentaksiran Berasaskan Sekolah


KUALA LUMPUR 7 Jan. - Sisipan pendidikan Utusan Malaysia, eLab dan ADaP bagi edisi tahun ini akan dilengkapi dengan bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang mematuhi keperluan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah pada 2011 dan di sekolah menengah mulai tahun lalu, justeru isi kandungan baharu yang disediakan dalam sisipan pendidikan itu sesuai dijadikan bahan rujukan atau alat bantu mengajar.
Sisipan pendidikan berbahasa Inggeris e-Lab akan diterbitkan pada setiap hari Selasa bermula esok diikuti dengan ADaP sekolah rendah pada Rabu dan ADaP sekolah menengah pula pada Khamis.
Bahan P&P yang disediakan oleh guru pakar dan jurulatih utama dalam sisipan pendidikan itu, menepati keperluan guru dan pelajar khususnya calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Sumber -  Utusan Melayu (M) Bhd 

Tandas sekolah diberi penarafan


Mulai tahun ini, Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperkenalkan Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah dalam usaha mengamalkan budaya tandas sekolah bersih terutama kepada golongan pelajar.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, usaha itu bakal digerakkan melalui penyebaran poster berkaitan amalan dan budaya kebersihan tandas bersih termasuk buku Penarafan Kebersihan Tandas Sekolah di semua sekolah bermula bulan ini.
"Usaha berkenaan bagi mempergiat amalan menjaga kebersihan dalam kalangan murid dan diharapkan melalui golongan ini, amalan itu dapat diperhebatkan kepada masyarakat secara menyeluruh," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, baru-baru ini.
Selain itu, beliau memberitahu, tahap kebersihan kantin dan dapur sekolah di seluruh negara semakin baik apabila 98.8 peratus daripada 8,321 kantin sekolah didapati bersih dengan markah 70 peratus ke atas melalui Penggredan Kantin Sekolah dan Dapur Asrama Sekolah yang dijalankan pada tahun 2012.

7 fokus untuk berjaya

Putrajaya: Penjawat awam diminta memberi tumpuan kepada tujuh keutamaan bagi memastikan Bajet 2013 dilaksanakan dengan cekap dan lancar. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata walaupun negara mengecapi pelbagai kejayaan membanggakan dan diiktiraf dunia, penjawat awam tidak boleh leka atau rasa selesa, malah perlu melipat ganda usaha menjadikan tahun ini lebih berjaya dan cemerlang. 

Beliau berkata, ini selaras hala tuju agenda transformasi negara yang harus memberi kesan dan kepuasan kepada rakyat serta menepati tema bajet iaitu. Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati. 



Tujuh tumpuan utama itu ialah; 

  • Memastikan perpaduan dan jati diri nasional diperkukuhkan.
  • Melaksanakan Bajet 2013 dengan lancar mengikut jadual.
  • Agenda GTP beri kesan dan kepuasan kepada rakyat selain suntikan pertumbuhan ekonomi negara.
  • Penambahan hasil kekayaan negara diagih secara adil dan saksama kepada rakyat.
  • Program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dilaksana sepenuhnya.
  • Perkhidmatan cepat, tepat dan berintegriti selain pemikiran kreatif lagi inovatif.
  • KPI menteri dan kementerian perlu dicapai sepenuhnya.

Ahad, 6 Januari 2013

Kaunter Satelit


Kaunter Permohonan Pertukaran dan Penempatan Murid Sekolah Menengah

Tempat                   : Lobi Jabatan Pelajaran Terengganu
Masa Operasi         : 9.00 pagi hingga 3.00 petang

Jenis Proses Permohonan Yang Diuruskan :
1. Pertukaran Antara Negeri (P.U  275A)
2. Pertukaran Antara Daerah (P.U  275A)
3. Rayuan Bersekolah Semula (ASBS) - sekolah persendirian, SAR,berhenti sekolah ke SMK
4. Pertukaran Murid SM Vokasional, MRSM,SMKA, SABK ke Sekolah Menengah Harian

Home Schooling

PENGECUALIAN DARIPADA MENGIKUTI PENDIDIKAN WAJIB (HOME SCHOOLING)

1.PENYATAAN DASAR
Home Schooling adalah merupakan satu kaedah persekolahan di rumah yang diberikan kepada ibu bapa yang memerlukannya seperti mempunyai masalah kesihatan kronik dan memerlukan jagaan rapi oleh pihak penjaga. Namun demikian ianya hanyalah satu keistemewaan dan bukannya hak. Persekolahan biasa adalah diutamakan kepada kanak-kanak kerana ianya merupakan satu cara untuk kanak-kanak dapat berinteraksi di antara satu sama lain.
2.TUJUAN
2.1Memberi peluang kepada kanak-kanak yang menhadapi masalah kesihatan yang kronik dan memerlukam penjagaan yang rapi oleh ibu bapa untuk mendapat pendidikan formal di rumah.
2.2Memastikan tidak berlaku keciciran kepada kanak-kanak untuk memperolehi pendidikan wajib seperti dalam Akta Pendidikan 1996.
2.3Mendidik ibu bapa supaya menjalankan tanggungjawab mereka untuk menyekolahkan anak.
3.PELAKSANAAN DASAR
3.1Akta Pendidikan (Pindaan) 2002
Subseksyen 29A (2) Akta Pendidikan (Pindaan) 2002 memperuntukkan Menteri boleh, "Jika difikirkan wajar dan demi kepentingan murid atau awam untuk berbuat demikian", melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, mengecualikan mana-mana murid atau mana-mana golongan murid yang dikehendaki supaya mengikuti pendidikan wajib, sama ada secara mutlak atau tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkannya dan patut dikenakan, dan boleh pada bila-bila masa menurut budi bicaranya membatalkan pengecualian itu atau membatalkan atau mengubah atau menambah syarat-syarat itu.
3.2Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 14/2002 : Pelaksanaan Pendidikan Wajib di Peringkat Rendah 2003 bertarikh 27 November 2002.
3.3Garis Panduan Pelaksanaan Pendidikan Wajib di Peringkat Rendah Tahun 2003.
4.KAEDAH PELAKSANAAN
4.1Permohonan Home Schooling boleh dibuat di mana-mana Jabatan Pelajaran Negeri di seluruh negara menggunakan borang yang telah disediakan. Permohonan ini akan di hantar ke Bahagian Sekolah Kementerian Pelajaran oleh Jabatan Pelajaran Negeri yang berkaitan untuk diproses dan diberikan kelulusan khas. Setakat ini hanya mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik dan memerlukan jagaan rapi oleh pihak penjaga adalah diutamakan untuk tujuan kelulusan. Semua syarat-syarat untuk tujuan permohonan ini ada dinyatakan di dalam borang yang boleh didapati secara percuma di semua Jabatan Pelajaran Negeri di seluruh Negara.
4.2Kes permohonan pengecualian daripada mengikuti pendidikan wajib dan menjalankan persekolahan di rumah (Home Schooling) dirujuk kepada KPPM untuk mendapat ulasan dan kemudiannya diangkat kepada YB Menteri Pendidikan untuk mendapatkan keputusan.
4.3Secara amnya syarat tersebut adalah seperti berikut:
4.3.1Pemohon hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia
4.3.2Pemohon mestilah memiliki kelulusan ikthisas perguruan
4.3.3Salah seorang ibu bapa mestilah berkesanggupan untuk menjadi pengajar kepada kanak-kanak tersebut secara sepenuh masa di rumah
4.3.4Adalah diwajibkan untuk menggunakan kurikulum kebangsaan
4.3.5Berkemampuan untuk menyediakan prasrana pendidikan yang kondusif dan sempurna untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran
4.3.6Lawatan ke rumah pemohon akan dibuat untuk tujuan lawatan tapak kesesuaian prasarana pendidikan oleh pegawai Kementerian Pelajaran Malaysia , Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah
4.3.7Pemohon membenarkan Pegawai daripada Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah untuk melawat rumah pada bila-bila masa hari persekolahan untuk tujuan pemantauan proses Pengajaran & Pembelajaran tanpa prasangka.
4.3.8Kanak-kanak yang menjalankan Home Schooling tidak dibenarkan sama sekali untuk menghadiri mana-mana persekolahan secara tiusyen harian sama ada swasta atau kerajaan
4.3.9Sekiranya didapati pemohon melanggar syarat-syarat yang terkandung dalam kelulusan yang diberikan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia maka pihak Kementerian Pelajaran Malaysia berhak untuk membatalkan kelulusan tersebut dengan serta merta dan kanak-kanak tersebut hendaklah didaftarkan semula ke sekolah biasa dengan segera.
5.TARIKH KUATKUASA
5.1Kertas "Kriteria Pengecualian Daripada Mengikuti Pendidikan Wajib Di Peringkat Rendah" telah diluluskan oleh YB Menteri Pendidikan pada 28 Jun 2003 dan tugas memproses permohonan pengecualian telah dilaksanakan mulai daripada tarikh tersebut.
BANTUAN:-
  1. Buku Teks
  2. KWAPM
  3. Rancangan Makanan Tambahan
  4. Skim Baucer Tuisyen
  5. Lain-lain Bantuan

- Biasiswa Kecil
- Pakaian Seragam Sekolah

Sumber - Portal Rasmi KPM

Laluan Kerjaya

Laluan Kerjaya PPPS dan PPPLD di KPM

Sila klik di sini untuk maklumat selanjutnya

Sumber - Portal Rasmi KPM

KURSUS PRAPERKHIDMATAN


Kursus praperkhidmatan merupakan program yang menyediakan latihan untuk guru-guru praperkhidmatan sekolah rendah. Program ini dijalankan di institut-institut pendidikan guru seluruh Malaysia. Kelayakan asas dan tempoh pengajian ditentukan mengikut kursus yang ditawarkan. Di antara program yang ditawarkan ialah:
iKursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) : KPLI - SR , KPLI - j-QAF

Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) : KPLI - SR , KPLI - j-QAF

Sila klik di sini untuk maklumat selanjutnya

Sumber - Portal Rasmi KPM

DILEMA GURU SEKOLAH MENENGAH AGAMA NEGERI TERENGGANU

Utusan Malaysia bertarikh 27 September 2012 –

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca “Guru Dilema, Terengganu”  dalam ruangan Surat Kepada Pengarang akhbar Utusan Malaysia  bertarikh 27 September 2012 – Dilema guru Sekolah Menengah Agama  negeri Terengganu.

Merujuk kepada kenyataan pengadu berkaitan diberi jaminan tidak akan ditukarkan tanpa persetujuan, dimaklumkan berdasarkan kepada memorandum persefahaman  (MoU) yang ditandatangani, KPM bersetuju menerima semua guru dan Anggota Kumpulan Sokongan (AKS) yang sedang berkhidmat di sekolah walaupun bilangannya adalah melebihi perjawatan yang disediakan. Dalam MoU berkenaan, persetujuan antara KPM dengan guru perlu diperolehi lebih awal hanya untuk pertukaran antara negeri  sahaja. Sehubungan itu, setelah mengambil kira keperluan perjawatan di setiap sekolah, pergerakan guru (redeployment) perlu dilaksanakan bagi memastikan operasi di sekolah dapat berjalan dengan lancar dan matapelajaran diajar oleh guru mengikut opsyen. Contohnya terdapat keperluan guru bagi matapelajaran akademik selain daripada matapelajaran agama dan atas dasar tersebut, guru berkenaan perlu ditempatkan di sekolah-sekolah yang sangat memerlukan khidmat beliau. Pengisian ini juga bagi memastikan prestasi akademik di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) adalah seiring dengan arus perdana.

Merujuk kepada kenyataan pengadu berkaitan pelarasan gaji dan kenaikan pangkat yang dijanjikan, dimaklumkan bagi urusan pelarasan gaji yang masih tertunggak, Bahagian Pendidikan Islam (BP)I telah mengambil langkah dengan mengadakan Task-Force Kew-8 bagi Negeri Terengganu bertempat di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Marang pada 10 hingga 13 September 2012 yang lalu. Kesemua pembantu tadbir SABK Terengganu terlibat sepanjang task-force ini berlangsung dan hampir 60% kes-kes tertunggak telah berjaya diselesaikan. Program task-force ini dilihat sebagai platform pembelajaran dan penambahbaikan secara terus di antara BPI dan pembantu tadbir sekolah SABK dalam mengenalpasti kesilapan yang sering dilakukan dan perlu ditambah baik.
Manakala bagi urusan kenaikan pangkat, ianya tertakluk kepada prosedur dan pekeliling sedia ada yang sedang berkuatkuasa. Sehubungan dengan itu, semua guru akan mendapat peluang yang sama rata untuk kenaikan pangkat.

Merujuk kepada kenyataan pengadu berkaitan pihak sekolah terpaksa mengikut program yang dianjurkan oleh JPN dan PPD, dimaklumkan peluang sebegini seharusnya dilihat secara positif dalam meningkatkan jati diri, prestasi profesionalisme keguruan dan kerjaya untuk terus maju pada masa akan datang. Tanggungjawab ini merupakan amanah sebagai seorang pendidik untuk menjana modal insan yang seimbang dan bukannya sebagai bebanan dalam tugasan harian.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Sumber - Portal Rasmi KPM

Pelaksanaan BISP

SURAT MAKLUMAN STATUS PELAKSANAAN PEMBERIAN BAYARAN INSENTIF SUBJEK PENDIDIKAN (BISP)


Sila klik Surat Makluman Status di sini untuk muat turun
Sila klik Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil.3 Tahun 2003 di sini untuk muat turun

Sumber - Portal Rasmi KPM

Khamis, 3 Januari 2013

Pengemaskinian Data APDM 2013



Makluman Kepada Semua Administrator APDM Sekolah

Semua murid telah naik tahun / tingkatan secara automatik oleh sistem APDM. Guru kelas hanya perlu kemaskini kelas murid (sekiranya berubah).

Administrator APDM sekolah perlu terlebih dahulu melantik semula semua guru kelas (JANGAN PADAM KELAS!!) dan pembantu tadbir (PT) untuk sesi persekolahan 2013 berserta MBMMBI dan sesi pagi / petang kelas tersebut.
Enrolmen dan maklumat murid bagi sesi persekolahan 2013 perlu dikemaskini sebelum 15 Januari 2013 untuk keperluan pentaksiran (SAPS, SPPBS dan pendaftaran UPSR) dan bantuan murid.
Mulai 1 Januari 2013, Murid-murid tahun 1 dan tingkatan 1 yang telah mendaftar menggunakan edaftar rendah dan edaftar menengah APDM hanya perlu dikemaskini kelas oleh Administrator APDM sekolah. Guru kelas hanya perlu mendaftar murid baru yang tiada dalam senarai.

Aplikasi akan di tutup setiap hari pada pukul 12:00 AM hingga 12:15 AM setiap hari bagi tujuan penyelenggaraan


Sumber - Laman Sesewang Aplikasi Pangkalan Data Murid

e-Rayuan SBP TIngkatan Satu 2013


Untuk rayuan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh Tingkatan Satu (1) tahun 2013, sila layari portal rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sila klik di sini untuk e-Rayuan